Friday, February 27, 2009

DEFINISI AL-QURAN

Kalamullah yang mu’jiz yang diturunkan oleh Allah kepada nabi Muhammad melalui perantaraan malaikat Jibril, dinukilkan secara mutawatir dan membacanya dikira ibadah.dimulai dengan surah al-Fatihah dan disudahi dengan surah an-Nas.

Begitulah definisi yang diberi oleh ulama dalam memberi gambaran tentang apa itu yang dinamakan Al-quran. Jika dilihat pada takrif kita dapat mengetahui bahawa al-Quran adalah kalamullah bukan kalam makhluk. Kitab suci ini menjadi mukjizat bagi nabi Muhammad dan ia kekal sehingga hari kiamat kerana ia dijaga oleh Allah.

Sesungguhnya Kamilah Yang menurunkan Al-Quran, dan Kamilah Yang memelihara dan menjaganya. Surah al-Hijr 15:9

Seperti yang kita ketahui kitab zabur diturunkan kepada nabi Daud as, kitab taurat kepada nabi Musa as, kitab injil diturunkan kepada nabi Isa as dan begitulah juga nabi Muhammad saw dianugerahi kitab Al-quran . Kitab ini diturunkan oleh Allah melalui perantaraan ruhul Amin iaitu malaikat jibril as dan disampaikan kepada kita secara mutawatir dan membacanya dikira ibadah dan memperolehi ganjaran pahala.

Kitab al-quran dimulai dengan surah al-fatihah yang menjadi bacaan wajib dalam amalan solat samaada fardu ataupun sunat. Surah yang menjadi penutup bagi kitab suci ini adalah surah bacaan sebelum tidur iaitu surah an-nas.

Wednesday, February 25, 2009

GIZI SEIMBANG

Hari ini aku nak kongsi satu perkara tentang makanan. Seperti mana yang kita semua maklum setiap Negara pasti mempunyai makanan asasi tidak kira samaada dari bijian seperti gandum dan beras dan sebagainya. Kalau sebut Negara kita yang dicintai pasti makanan asasi adalah nasi. Sebab itulah walaupun mengembara ke mana-mana pun masyarakat kita mesti tak boleh tinggal nasi. Kalau tak makan nasi pasti badan tidak berapa selesa rasa lemah semacam. Kalau Negara arab seperti Mesir makanan asasi diorang berasaskan gandum dan kekacang seperti roti aish. Roti aish biasa dimakan dengan ful(kacang) ataupun tokmiyyah.

Tokmiyyah kalau tengok cara buat memang hilang selera tapi kalau makan nescaya nak lagi. Bayangkan kacang digaul dengan tepung menggunakan tangan and then digoreng dalam minyak yang tidak pernah ditukar Cuma ditambah dengan minyak baru saja. Sebab itu tokmiyyah tidak boleh dimakan setiap hari kerana dipercayai boleh menggugurkan rambut. Kalau kita tengak orang arab pasti kepala mereka dogol ditengah akibat kuat makan aish.

Pastu kalau nak tahu sesungguhnya orang Malaysia makan di lidah, orang arab makan di perut dan orang putih makan di otak. Perkara ini aku dapat bila dengar kuliah seorang ustaz. Kalau kita tengok orang Malaysia makanan mereka seperti budu, tempoyak, petai kalau diikutkan bau memang busuk tapi itulah kegemaran rakyat Malaysia. Kalau kita tengok orang arab makanan mereka bukan ada rasa sangat pun tapi mereka makan dengan steady sebab diorang hidup susah jadi tak berkira sangatlah pasal makanan.

Orang putih pulak diorang makan makanan yang berkhasiat saja sebab mereka lebih pentingkan khasiat dari rasa. Yang aku terkejut sekali ialah kurma. Ustaz itu cakap ada seorang doktor bagitahu bahawa tujuh biji kurma sudah cukup untuk gizi seimbang. Tapi kita memang kurang makan kurma kecuali bulan puasa. Kita sebenarnya sudah ditipu oleh orang barat. Kita beli macam-macam untuk ikut pyramid makanan walhal makanan yang diajar oleh Rasulullah saw sudah cukup semua itu tapi kita tidak pernah ambil peduli. Alangkah malangnya kita kerana tidak mengambil berat apa-apa yang disuruh oleh Rasulullah saw sedangkan apa yang diajar membawa faedah pada kita.

Sunday, February 22, 2009

Damietta



Setelah selesai jaulah ke Sinai, Damietta menjadi destinasi untuk menghabiskan percutian. Agenda utama kesana adalah untuk mencari kerang kerana Dumyat atau Damietta adalah syurga kerang. Apa yang terjadi adalah sedikit terkilan dek kerana kerang pada tahun ini tidak seperti tahun lepas.

Mungkin kerana semua orang tertumpu ke sini menyebabkan hasil kutipan hanya sedikit. Tetapi satu pengalaman baru dicipta iaitu mandi laut di musim sejuk. Oleh kerana kerang sukar didapati di persisiran maka kami mengambil keputusan untuk mencari di dalam air. Berada didalam air pada musim sejuk ibarat berada dalam peti sejuk. Otot-otot kaki kejang sehinggakan deria rasa seolah-olah tiada. Selepas berendam didalam air, ungun-ungun api yang dibuat oleh teman-teman menjadi tempat untuk memanaskan kembali badan disamping menikmati kerang bakar yang sedap hingga menjilat jari.

Hari kedua aku mencuba nasib, berbekalkan semangat aku dan beberapa orang sahabat menaiki basikal ke pantai. Setelah beberapa jam hanya sedikit sahaja hasil yang diperolehi walaupun pada malamnya angin kuat dan hujan lebat turun tetapi kerang tidak juga mahu muncul. Tapi aku bersyukur kerana walaupun sedikit tetapi masih lagi dapat merasai keenakan kerang. Bayangkanlah jika tidak dapat merasainya pasti lebih hampa.



Setelah empat hari disana, مصيف مدينة دمياط جديدة (tempat peranginan Bandar Damietta Baru ) aku tinggalkan membawa pulang pengalaman dan ketenangan.

Saturday, February 21, 2009

snorkelling

Baru-baru ini aku diberi kesempatan untuk mencuba satu aktiviti yang sangat menyeronokkan. Sebelum ini aku hanya mendengarnya sahaja dan tak pernah terlintas dihati untuk mencuba, tapi setelah mencuba baru aku tahu akan keseronokan dan kenapa sesetengah orang sangat mengilai aktiviti itu. Aktiviti yang aku maksudkan adalah snorkeling.

Dengan bayaran yang murah iaitu dua puluh lima geneh aku dapat menikmati dan menghayati kecantikan terumbu karang dan hidupan laut yang lain. Selama tiga jam aku berendam dalam air walaupun dalam cuaca yang sejuk. Kesejukan bagai hilang dalam kenikmatan yang terhampar di dasar laut. Kalau di Malaysia yang tercinta aku pernah dengar orang melakukan snorkeling di Pulau Redang yang terkenal dengan terumbu karang yang cantik. Pulau Sipadan adalah antara pulau yang cantik dan bagus untuk melakukan aktiviti ini.

Apa yang aku dapat bila melakukan aktiviti ini adalah kepuasan melihat hidupan laut dan merasa takjub dengan ciptaan Allah yang maha kuasa. Melihat ikan yang berenang dengan tenang dengan beraneka warna membuatkan aku terpesona dan timbul rasa kebesaran Allah. Ikan yang sebelum ini hanya melihat melalui kaca television juga dapat kulihat bila lakukan aktiviti ini.

Friday, February 20, 2009

Coretan Kembara




Impian untuk menjelajahi semenanjung Sinai untuk kali kedua berjalan lancar seperti yang dirancang. Kadang-kadang timbul perasaan tidak percaya kerana segala tempat yang ingin dituju dapat dilakukan tanpa karenah yang banyak dari kerajaan Mesir memandangkan sekarang pasca peperangan dan semenanjung Sinai sangat berhampiran dengan ma’rokah tersebut. Jutaan kesyukuran dipanjatkan pada Allah kerana dengan izin dan inayah-Nya dapat merealitikan segala impian.



Setelah tiga jam berhempas pulas Jabal Thur Sina yang berketinggian 2285 meter dari permukaan laut dapat ditawan buat kali kedua walaupun kali ini menuntut lebih pengorbanan dari tahun lepas. Tanpa semangat dan dorongan sahabat-sahabat mungkin perkara ini tidak akan terjadi. Pelbagai perkara yang mewarnai pendakian kali ini antaranya ada sahabat yang terpaksa merangkak untuk ke puncak, kekejangan otot, menaiki unta dan sebagainya. Semua ini dilakukan semata-mata untuk merasai pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Musa As. Bila ini terjadi, kita bisa berfikir bahawa sesuatu yang bernilai mana mungkin bisa diperolehi tanpa sebuah pengorbanan.

Sebelum pendakian kami sempat melawat maqam Nabi Soleh, kesan lembu samiri yang menjadi tanda kekufuran , melihat maqam Nabi Harun dari kejauhan kerana keterbatasan waktu dan sempat juga untuk melihat kesan ketukan batu yang dilakukan oleh Nabi Musa yang memancarkan dua belas mata air di Wadi Arbaien.



Noktah hasinah atau kubu lama Israel yang kalah kepada mesir dalam peperangan tiga penjuru dengan pertolongan salah seorang ulama’ Al-Azhar Syeikh Halim Mahmud rahimahullah yang bermimpi bahawa hanya dengan air sahaja yang mampu untuk mengalahkan tentera Israel yang membina benteng yang ampuh setelah tentera Mesir hampir mati akal.

“ BERJALAN BERMUSAFIRLAH,
MELIHAT KEAGUNGAN ALLAH,
MENINJAU MENITILAH,
RAHSIA CIPTAAN ALLAH. ”

Tuesday, February 17, 2009

Makan dan sejuk

Firstly minta maaf sebab lama tidak mengupdate blog ini. Antara faktornya ialah sebab internet tiada di rumah, baru suddah pulang dari melancong . tapi itu semua alasan yang selalu menjadi tabiat rakyat Malaysia kalau tidak percaya tanya geng-geng raja lawak. Apa yang sebetulnya ialah tabiat malas yang menghantui. Aku nak kongsi satu tabiat aku pada musim sejuk iaitu tabiat makan sebab cepat lapar. Aku perasan tabiat ini sejak tahun pertama aku disini. Apabila musim sejuk tiba sahaja pasti rasa lapar mendominasi rasa kenyang. Tabiat ini kalau kena dengan perempuan pasti mereka rasa mengelabah sebab takut gemuk tapi kalau kena lelaki macam aku tak kisah sebab badan susah nak naik.




Kalau nak diikutkan tabiat ini adalah tabiat yang kurang bagus kerana bila makan banyak pasti banyak penyakit akan datang kerana perut adalah tempat berkumpul penyakit. Ditambah pula dengan musim sekarang yang mana penyakit mudah berjangkit kerana udara yang lembab dan penyakit yang glamour sekarang ini ialah tibi.
Penyakit paling bahaya yang timbul apabila rasa kenyang adalah malas. Penyakit yang ditakuti dan menyebabkan segala kerja akan tergendala. Malas dalam melakukan kerja dan yang paling bahaya malas dalam melakukan ibadah pada Allah. Sebab itu kita disuruh berdoa:

اللهم أعنى على ذكرك وشكرك وحسن عبادتك


Ya Allah, bantulah aku dalam mengingati-Mu, mensyukuri nikamat-Mu dan perelokkanlah ibadahku pada-Mu

Kita tidak akan mampu melakukan sesuatu tanpa kehendak Allah, jadi sebab itulah kita harus berdoa moga Allah memberi izin kepada kita untuk melakukan sesuatu yang baik especially amal yang akan membawa kita kepada kebahagian di tempat yang kekal abadi iaitu Dar Akhirat.
Satu perkara yang bahaya apabila perut terlalu kenyang ialah nafsu sukar dikawal menyebabkan banyak kejahatan akan dilakukan. Perkara ini boleh dibandingkan apabila kita berpuasa kita seolah-olah boleh mengawal diri kita, tetapi bila diri kenyang kita akan hilang daya mengawal.


Sunday, February 1, 2009

Tersentuh

Hati ini tersentuh apabila membaca satu artikel yang ditulis oleh pelajar perubatan Mesir yang menceritakan kisah hidup beliau yang dahulu sering lalai dan tenggelam dalam keasyikan tetapi akhirnya berubah. Hati kalau ia tidak mendapat petunjuk maka akan menjadi lebih keras dari batu. Tetapi bila ia mendapat nur dari Allah maka akan menjadi sungguh tersentuh. Sesungguhnya Allah menyayangi beliau dengan memberi kesedaran dari kelalaian itu. Kini beliau menjadi muak dengan ragam kawan-kawan beliau yang tengelam dalam keasyikan itu. Beliau bimbang apabila ditegur maka mereka akan memutuskan persahabatan yang terjalin menyebabkan beliau hanya mendiamkan diri.

Bila terbaca artikel ini aku jadi terfikir jangan diperlekehkan orang yang lalai kerana mereka mungkin akan jadi lebih baik dari kita suatu hari nanti tetapi kita perlu mengambil iktibar dan menasihati mereka. Mereka diuji oleh Allah dan bayangkan jika kita diuji begitu adakah kita akan kembali sedar.

kita hari ini mungkin berada pada landasan yang betul tetapi ingatlah bahawa yang menjadi penentu ialah pada pengakhiran hidup kerana ada manusia yang pada mula beriman tetapi mati dalam kekufuran begitu juga ada yang permulaan berada dalam kekufuran tetapi mati dalam kebaikan.

Ya Allah matikan kami dalam husnul khotimah..Ya tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami dalam agama-Mu dan ketaatan pada-Mu… amin

Cinta adalah anugerah Allah tetapi kita yang harus memandui ia agar tidak terjerumus dalam cinta yang hina..renungilah kata pujangga di bawah:

Demi Allah sesungguhnya sebuah cinta teramat agung untuk dapat dilihat,
Ia luput dari penglihatan manusia
Ia ada didalam dada bersemanyam sebagaimana api bersemanyam dalam batu
Jika di nodai ia akan membakar
Jika di cuba untuk ditinggalkan ia akan selalu membayangi