Friday, October 15, 2010

Nasihatilah Manusia Walaupun Engkau Seorang Pendosa

Nasihatilah Manusia Walaupun Engkau Seorang Pendosa
Mungkin ada sebahagian orang yang tidak tergerak hatinya untuk menasihati manusia, kerana ia merasa banyak melakukan dosa dan tidak layak untuk mengucapkan ucapan kebaikan kepada sesama manusia.
Pandangan seperti itu adalah keliru dan bahayanya sangat besar, serta akan membuat syaitan gembira. Betapa tidak, kerana jika mesti menunggu sampai seseorang bersih dari dosa baru ia layak menasihati manusia, maka tidak ada seorangpun di muka bumi yang layak memberi nasihat setelah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam tercinta.
Sebagaimana dikatakan seorang penyair:
إذا لم يعظ في الناس من هو مذنب
فمن يعظ العاصين بعد محمد
“Apabila seorang pendosa itu tidak menasihati manusia,
Maka siapakah yang akan menasihati orang-orang yang berdosa setelah Nabi Muhammad kita”.
Sa’id bin Jubair berkata: “Apabila seseorang tidak memerintahkan kepada kebaikan dan tidak pula mencegah dari yang munkar, hingga ia menunggu dirinya bebas dari kesalahan, maka tidak akan ada seorangpun yang memerintahkan kepada kebaikan dan tidak pula mencegah dari yang munkar”.
Imam Malik setelah mendengar perkataan Sa’id bin Jubair berkata: “Benar apa yang dikatakan Sa’id. Siapakah yang tidak memiliki sedikitpun dosa dalam dirinya?”.
Al-Hasan berkata kepada Mutharrif bin ‘Abdillah: “Berilah nasihat kepada sahabat-sahabatmu”. Mutharrif menjawab: “Sesungguhnya aku takut mengatakan apa yang tidak aku kerjakan”.
Al-Hasan berkata lagi: “Semoga Allah merahmati dirimu. Tidak ada seorangpun di antara kita yang melakukan semua yang diperintahkan Allah. Syaitan akan gembira apabila kita berfikir seperti itu sehingga tidak ada seorangpun yang memerintah kepada kebaikan dan tidak pula mencegah dari kemungkaran”.
Berkata Ibnu Hazm: “Apabila orang yang mencegah dari perbuatan keji mesti orang yang tidak memiliki kesalahan, dan orang yang memerintah kepada kebaikan mesti orang yang selalu mengerjakan kebajikan, maka tidak ada seorangpun yang mencegah dari yang mungkar dan tidak ada seorang pun yang mengajak kepada kebaikan setelah Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wa sallam.”
(Semua nukilan diatas dapat ditemukan dalam kitab al-Jami’ li Ahkamil Quran: 1/367, al-Qurtubi).
Imam Nawawi berkata:
“Para ulama menyatakan bahawa tidak disyaratkan pada orang yang memerintah kepada kebaikan atau orang yang mencegah dari kemungkaran untuk mencapai kesempurnaan dalam segala hal. Tapi, ia mesti tetap mengajak kepada kebaikan walaupun ia memiliki kekurangan dalam hal yang ia ajak kepadanya, dan ia tetap mencegah kemungkaran walau ia terkadang mengerjakan apa yang ia cegah. Kerana sesungguhnya wajib pada dirinya dua perkara iaitu : mengajak dirinya sendiri ke arah kebaikan dan mencegah dari kemungkaran; dan mengajak orang lain ke arah kepada kebaikan dan mencegah mereka dari yang mungkar. Tidak boleh ia melalaikan salah satu dari dua perkara tersebut”.
(Syarah Sahih Muslim: 2/23, An-Nawawi).
Semoga kita termasuk orang-orang yang selalu saling menasihati dalam kebaikan.

Sumber:Maqaz

Monday, September 27, 2010

Mengakrabi

Lama berada di padang pasir menyebabkan banyak yang 'hilang'. Masa perlu diperhambakan supaya ia kembali bertaut dan sebati kemudian  mengalir memberi. Mengakrabi apa yang telah lama memencil memuntahkan ketempangan yang lama meloya. Lidah keras membisu mendera hati yang terbuku. Akal ditikam dan ditoreh  membuak darah merah khayalan.

Tercalit yang dibenci membias yang dicaci. Sabun murni yang diimpi masih terkunci digudang 'semalu'. Melaju dicorong maya kaku dipentas nyata, bukan disengaja tetapi terpenjara oleh gemuruh jiwa. Mengunyah lemah 'isi' yang padu dan sasa. Menyingkap tabir yang menghadang realiti tidak semudah bayangan. Bersila longgar diatas hamparan mempersona sambil akal dipaksa meranum walaupun biji baru disemai.

Friday, September 10, 2010

Salam Aidilfitri

Assalamualaikum.

Salam kembali kepada fitrah untuk semua. Taqabalallahu minna wa minkum kupanjatkan. Kupersembahkan seluhur kata kemaafan yang didamba andai terkhilaf zahir dan lubuk yang terhalang. Semoga kalbu yang putih sudi menyambutnya. Ramadan yang pergi jangan terus dilupakan. Segala amalan yang dikuduskan kekal dalam mujahadah. Kayuhan takwa terus ditingkatkan hingga terakhir merebut kemuliaan.



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini