Mungkin coretan ini dingin kerana tanpa olahan rasa tetapi percayalah ia adalah cetusan nurani bersama lintasan fikiran yang kucuba adunkan agar membentuk acuan yang cantik. Guru jasamu kepadaku begitu berharga kerana engkau mengajariku huruf-huruf ilmu membentuk kalimah amal dan tulisan adab agar lahir satu warkah akhlak yang mampu untukku jadikan panduan dalam pelayaran kehidupan.
Ibubapa merupakan guru pertama yang menunjukkan apa itu kebaikan dan kejahatan. Menanam benih yang baik agar ia tumbuh subur memayungi insan lain. Berbekalkan baja dan siraman yang kau beri maka berputiklah pohon yang diwarnai oleh bunga mekar dan harum.
Guru pula menjaga agar dahan yang tumbuh dibentuk elok supaya mata yang memandang akan terpesona. Dahan yang buruk dan reput akan dibuang untuk menjaga dahan lain agar tidak turut sama menimpa nasib yang sama. Terkadang tangan itu memangkas sedikit keras agar yang buruk itu segera hilang untuk mengekalkan tarikan itu. Disirami dengan air untuk tumbesaran agar kelihatan lebih menarik. Struktur yang ditempa mungkin berbeza tetapi tujuannya satu untuk menjadikan yang terbaik.
Mungkin ada ketika aku melukakan kamu semua, sepuluh jari kususun agar kemaafan dapat kau beri dan halalkan segala apa yang kau ajari serta sepotong doa menjadi dambaan supaya bisaku amalkan segala ilmu yang dipelajari..
Picture:From FB.
Selamat Hari guru untuk mereka yang pernah mendidik aku dari kecil hingga dewasa. Jasa kalian amat aku hargai. Semoga ALLah mengampunkan dosaku,ibubapaku serta guruku dan menempatkan kita semua di syurga..ameen.
No comments:
Post a Comment