Friday, February 25, 2011

Kita(aku)


Setiap kali ia terlakar, ia akan terpadam atau tersimpan. Mengapa? Ia memerlukan satu penelitian. Bukan sengaja mahu membiarkan ia kekosongan tetapi ketandusan sering bertandang. Patah-patah yang direnda akhirnya terlerai dilurut gunting kekusutan. Kita(aku) melihat,memerhati kehebatan mereka mencantum abjad-abjad menghasilkan bangunan perkataan yang memukau ,terdetik di sukma bagaimana mereka melakar?.
Ya… mereka pernah memberi, secara tersurat atau tersirat, sayang  kita(aku) masih belum mampu menyusuri kedalaman lautan yang bukat. Gunung yang puncaknya tersayup mata memandang. Kita(aku) melompat ke tebing sana, kelihatan tenunan mereka biasa tetapi memikat. Aduh… mungkin kita (aku) akan mengeleng-geleng kepala kerana pening dalam kebingungan.
Kita(aku) boleh tersenyum,terharu,marah apabila untaian mereka kita(aku) selusuri. Mereka menulis dalam rasa hingga kita(aku) lemas dalam rasa buatan mereka. Tiba-tiba tamparan keras mengejutkan dari angan-angan.
“Ya… mereka juga pernah begini.”
 “Tuduhan kamu beserta bukti?”. Tanya Sang Hati.
“Percakapan yang sandaran atau hujahnya tiada akan ditolak dan dibuang”.  Lantang Sang Akal memberi peringatan.
Kita(aku) tersenyum sambil mata menangkap  sinar amaran yang terpancar di wajah Sang Akal.
“Benar. Katamu itu amat benar. Kita(aku) punya bukti. Mereka yang memberitahu. Cuba-cubalah engkau selidiki pasti engkau akan temui”.
“Dimana dan bila kita(aku) tidak akan nyatakan. Gunalah kebijaksanaan,  ketajaman fikiran untuk membongkarkan”.
Logiknya, bangunan yang megah pada hari ini bermula dari sebongkah batu. Tenunan yang cantik bermula dari setitik warna. Lembaran yang dipegang atau ditatap bermula dengan satu abjad.