Thursday, December 29, 2011

Ketetapan

Kelmarin aku berjalan, melihat sembari mentafsir keindahan yang terbentang, semuanya kurasa faham dan takwilan seolah-olah tidak bertentangan. 

Semalam,kucuba sampaikan, apa yang telah aku faham,tetapi ternyata ia adalah khayalan yang disaluti pembohongan. Maka aku tersenyum riang walaupun pahit untuk ditelan. Kucuba berlagak tenang dan cuba mencari kekebalan akhirnya yang terhidang adalah satu pertentangan. Dalam kekecewaan berdiri kebenaran yang hakikat aku tidak faham. Faham,faham akhirnya tidak faham. Itu yang aku simpulkan.

Hari ini aku bertandang, dijamu kopi pelajaran. Tingkah laku yang dijelmakan membuat aku ketahuan. Komitmen dan pengorbanan ia harus disatukan. Diruang yang terluang,aku cuba berdampingan, mencari dan memahami erti perbualan. Antara gelak dan pelajaran semuanya memuaskan, kepuasan jiwa dan kepuasan intelektual.



Monday, November 21, 2011

Ceritera





Maka sang bujang telah bercerita kepada yang serupa dan berbeza status dengannya. Soalan “ kenapa tidak berdua walaupun telah meningkat usia”. Dijawabnya “belum mendapat izin, restu dan pelepasan dari orang tua”. Dikatakan kepadanya oleh yang  bertanya “kenapa disiksa akan fitrahnya?”. Sekuntum senyuman dihadiahkan ,dalam tenang dia menjelaskan. “Ekonomi masih belum sasa” itu alas an dari ibubapa.

Maka yang berbeza pun berkata-kata, “jika mahu ekonomi teguh, maka pikun baru ‘merasa’ ”. Dibawakan satu cerita, tentang realiti yang terjadi. Walaupun gaji sudah tinggi tapi masih belum mencukupi. Maka bersuara sang bujang kembali, “sepatutnya qana’ah perlu diamalkan, baru cukup dan tidak kehabisan”.

Yang semisal denganya hanya mendengar, sesekali mengangguk tanda mengiyakan. Dia bukan mendapat tentangan, Cuma belum tiba saatnya. Semoga sang bujang akan dipermudahkan, merasa ia mengikut sunnah junjungan SAW. Pada yang berbeza didoakan moga zuriat terus-menerus dikurniakan dan kekal hingga akhir kehidupan. Yang sedang menuju kebahagiaan dipanjatkan agar lestari dan berkat keturunan.

Telah berkata seseorang, kepada aku dan teman-teman. “ cuba kamu buka surah An-Nur, telitilah pada ayat 32,”

Dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang Yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha mengetahui. (An-nur: ayat 32)

Maka dalam kitab mu’jam mufahras bagi maudu’-maudu’ dalam  al-Quran telah disebutkan pada bab menggalakkan pernikahan ayat diatas dan ayat selepasnya iaitu :

Dan orang-orang Yang tidak mempunyai kemampuan berkahwin, hendaklah mereka menjaga kehormatannya sehingga Allah memberi kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya; dan hamba-hamba kamu (lelaki dan perempuan) Yang hendak membuat surat perjanjian untuk memerdekakan dirinya (dengan jumlah bayaran Yang tertentu), hendaklah kamu melaksanakan perjanjian itu Dengan mereka jika kamu mengetahui ada sifat-sifat Yang baik pada diri mereka (yang melayakkannya berbuat demikian); dan berilah kepada mereka dari harta Allah Yang telah dikurniakan kepada kamu. dan janganlah kamu paksakan hamba-hamba perempuan kamu melacurkan diri manakala mereka mahu menjaga kehormatannya, kerana kamu berkehendakkan kesenangan hidup di dunia. dan sesiapa Yang memaksa mereka, maka Sesungguhnya Allah - sesudah paksaan Yang dilakukan kepada mereka - Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (an-Nur: ayat 33).

Pesanku pada yang membaca,untuk penjelasan maka carilah ia pada yang berilmu,jangan hanya pada kitab, kerana takut pada jatuh kesalahan dalam memahami.





Friday, November 4, 2011

Kita dan Mereka

Kita punyai banyak keinginan dan kemahuan. Lantas kita pun berdoa. Pinta kejayaan, kekayaan dan segala yang terbaik untuk kita. Kadang-kadang kita terkena penyakit hati. Kita melihat kejayaan orang lain dengan penuh kehasadan walhal yang sepatutnya kita bergembira atas kesenangan orang lain apatah lagi jika yang berjaya itu adalah teman rapat kita.

Kita perlu melihat apa yang telah dilakukan oleh pewaris nabi iaitu ulama dalam berdoa. Mereka sangat mengharapkan doa dari saudara seislam mereka dan mendoakan orang lain lebih dari diri mereka. Mereka seperti mahu semua kesenangan diberikan kepada saudara-saudara mereka.

Kenapa ini berlaku?kerana mereka tahu mendoakan orang lain hasilnya adalah kita akan dikurniakan dengan apa yang didoakan untuk saudara kita. Doa akan cepat dimakbulkan. Mendoakan saudara kita secara tersembunyi adalah terbaik.Ayuh kita amalkan....

Monday, October 31, 2011

Perca rasa

Jam menunjukkan pukul 2,45 pagi. Mataku masih lagi segar, sesegar tiupan angin secantik kerlipan bintang seindah cahaya rembulan. Aku melihat kekanan, sedang nyenyak. Mengiring kekanan, mengepal penumbuk, kembali melihat jam dan waktu seperti selalu sentiasa berlalu.

Teriakan itu bergema. Aku keliru samada itu teriakan atau lolongan. Mungkin juga ilusi. Tertawa sendirian. Suara itu adalah sebuah nyanyian. Nyanyian dari seseorang yang mungkin tidak belajar apa itu hidup bermasyarakat. Mungkin juga dia lupa pada waktu yang semakin kelam. Boleh jadi dia juga sepertiku lalu cuba mencari formula agar bisa menjelajah alam sana. Jarum jam terus berputar, kini nombor yang tertera 3.30 pagi. Suara itu sudah sirna.

Sunday, October 30, 2011

Pintalah PadaNYa

Syaitan walaupun baru sahaja melakukan kesalahan - enggan menurut perintah Allah agar tunduk kepada Nabi Adam as, tidak malu untuk meminta pada Allah dan diperkenankan. Mengapa syaitan tega meminta? kerana mereka tahu akan sifat pemurah dan kesantunan Allah. 
Bagaimana pula dengan kita?




Saturday, October 22, 2011

Titik

Sayang dan benci saling mengakrabi tetapi berbeza rasa. 
 Sentiasa diingati dan terlalu dekat. 
Rasa itu bisa sahaja berubah.
 Hari ini kita membenci seseorang, esok mungkin dia yang terlalu kita sayang.
Semalam dia adalah yang paling kita sayang, hari ini dia adalah yang dibenci. Sayang dan benci harus sederhana.

Wednesday, September 14, 2011

Jangan tertipu

Hari ini aku duduk bersama mereka. Bercakap dan bercanda. Akhirnya mengkritik, lontaran idea dan segala jua rasa terhambur.

Apa yang ditampilkan disana berlainan dijelmakan pada malam ini.

Akhirnya aku tersenyum. Mereka sama seperti aku dan sebilangan besar manusia. 

Persepsi berjaya menipu aku dan kamu. 





Tuesday, September 6, 2011

Terima kasih

Teringat ketika aku dan teman-teman bercerita tentang kenangan, rindu,kasih pada sekolah tempat aku mula mengenal apa itu kehidupan. Memerah keringat untuk mengingati dan jua memahami kalimah perjuangan. Ketawa saling berselisih bersama kata. Pada bola yang dipijak lori,pada rotan yang sentiasa memesrai atau pada kerjasama,bertimbang rasa. 


Kritikan juga terhambur sama menyatakan perkara yang kurang mesra berimbang dengan teori-teori yang perlu dan mesti dilakukan. Pandangan yang muntah dari peluang merasa mungkin juga pada memetia. Saat itu aku turut sama meludah kata, campuran sayang bercampur kecewa. Ya. Kecewa pada mulut yang mengata.


Mentari mula mencubit lembut menyedarkan kami pada berlalunya masa. Suara-suara kini mula bergema dan akhirnya kita mula berpisah, senang, kenyang  dan tergiang-ngiang. 


Hari ini mahu sahaja aku berteriak pada lidah yang tertawan teh tarik juga pengubat roti canai adik beradik, bicara ditepi padang bersaksikan batu-batuan adalah terawang-awang yang perlu kita halusi agar ia berpijak dan mampu menjana perubahan dan kemegahan. Berenanglah dalam 'sungai' agar kita kecapi letih, tawar menenguk air, teroleng-oleng dirempuh ombak sagur atau pada kiambang,buluh yang bercampur sampah perosak panorama. 


Ayuh, kita berpatisipasi dimedan realiti bukan lagi diatas kerusi apalagi diulit angin enak mencumbui. Kita lakarkan kembali teori segar dan realistik, tanpa bertangguh jelmaan itu akan wujud sembari kekurangan akan terus kita tutup. Akhirnya barulah kita mampu tersenyum, menyanyi lagu kemenangan.Sinis melihat mulut-mulut yang meraung disebalik tembok dan berdoa moga mereka  akan terbeliak mata, terantai lidah dan akhirnya tersipu-sipu masuk dan menadah lalu mengalir barakah.




p/s:terima kasih pada Dr B..... yang menyedarkan aku pada kata yang selama ini terlindung.Alhamdulillah.

Wednesday, August 31, 2011

Hebat

Hari raya kedua, jalan raya masih lagi macet menunjukkan kehangatan raya masih rancak. Kita disajikan dengan hidangan yang pelbagai dirumah sanak-saudara apalagi dirumah terbuka. Perut telah puas menjerit meminta cuti,apakan daya tuannya tidak dapat mendengarnya.Mungkin jua tuannya sengaja tidak memahami.

Television juga menyajikan 'hidangan segar' buat kita sehingga kadang-kadang memaksa sesetengah dari kita untuk menggunakan salah satu pelajaran ramadan iaitu memilih, antara bersilaturrahim dengan sesama insan atau bermesra dengan pelokan wayang. Terngiang-ngiang kata-kata Dr ust Hamdan :

Jangan kita tertipu dengan helah yahudi meracuni pemikiran kita dengan hiburan  yang melampau sehingga memaksa kita meninggalkan amalan ziarah-menziarahi.

Politik kadang-kadang mengajar kita tentang sesuatu yang kita tidak pernah tahu. Komunis?. Kamal artatuk laknatullah dianggap bapa kemodenan oleh sesetengan kelompok tetapi bagi sesetengah kelompak dia adalah pelampau atau syaitan.

Adakah komunis sembahyang?

Monday, August 29, 2011

Eid Mubarak

Esok kita akan menyambut aidilfitri. Raya kedua ditanah air setelah jauh mengembara. Aneh tapi benar,cinta pada tanah yang ditinggalkan masih  hangat. Apa-apa pun MAAF ZAHIR DAN BATIN.





 تقبل الله منا ومنكم صالح الأعمال
وجعلنا الله وإياكم من العائدين الفائزين
كل عام وأنتم بالخير







Sedikit panduan buat semua. Baca jangan tak baca:


Sunat dan Adab hari raya


Jang lupa



* 8-2. Hairan bin ajaib

Thursday, August 25, 2011

Rezeki





Telah berkata Syeikh Muffasir Mutawali sya'rawi rhm:


Harta adalah satu juzuk daripada rezeki, disana terdapat lagi juzuk-juzuk yang lain daripada rezeki seperti , kesihatan,anak ,makan dan  berkat. Kesemua nikmat daripada Allah adalah rezeki,bukanlah yang dimaksudkan dengan rezeki itu harta semata-mata




Maka bersyukurlah olehmu hai manusia atas nikmat-nikmat yang tidak terhitung banyaknya. Janganlah ketika meminta rezeki yang terbayang olehmu harta sahaja.

Wednesday, August 24, 2011

Anugerah 3-0

Semalam, aku pernah mengimpikan sesuatu. Kadang-kadang aku pesimis. Tapi aku sedar Allah tidak pernah menzalimi tetapi aku,kamu dan mereka yang sering menzalimi diri sendiri.


Aku pernah bertanya pada si dia "Adakah aci-acian ini akan tercapai?"


Si dia menyenyumi lantas berkata " InsyaALLAh".


Waktu  berlalu. Angan-angan itu tampak kelam. Pesona yang diharap semakin menghilang. 


Tetapi,


Hari ini, aku dianugerahi  pemberian terindah. Senyumku disuntik euforia. Siapa sangka, saat ini kita dapat bersama, mendakap erat sembari lidah melafazkan kata-kata cinta dan pengharapan.


Ia menjadi saksi, kita telah menanam benih cinta disirami titisan suci. Semoga esok kita mampu memetik bunga yang wangi dan mewangi.


Alhamdulillah

Friday, August 19, 2011

Memberi mengikut kadar

Pada suatu hari, dizaman nabi Sulaiman as, baginda telah menitahkan kepada semua rakyatnya agar mempersembahkan pemberian mereka. Rakyat baginda akur dan mula mencari-cari apakah persembahan yang terbaik. Binatang, jin dan manusia mula menyiapkan pemberian yang terbaik.


Gajah, kerbau,  kambing, ayam dan belalang juga tidak ketinggalan menyediakan pemberian untuk dipersembahkan. Maka, pada hari yang dijanjikan, berkumpullah semua rakyat jelata dengan membawa barangan pemberian masing-masing.


Gajah membawa kerbau. Kerbau membawa kambing. Kambing pula membawa barangannya iaitu ayam. Belalang dibawa oleh ayam untuk dipersembahkan. Tidak mahu terlepas untuk membawa pemberian ialah belalang yang membawa semut untuk dipersembahkan,


Rakyat semua telah berkumpul dan memenuhi dataran. Belalang berdiri disebelah gajah. Dua yang berbeza membawa barangan yang berbeza.


" Hai belalang, kamu mahu persembahkan semut ini kepada nabi Sulaiman as?." Tanya gajah dengan nada sinis.


Belalang tersenyum.


" Ya! semut ini akanku persembahkan. kenapa?".


"kau lihat gajah ni. Ini barang yang akanku persembahkan".  Sambil menunjukkan kerbau yang dibawanya.


Perbualan mereka didengari oleh nabi Sulaiman as lalu baginda berkata;


"Setiap orang memberi mengikut kadarnya".




Moral:


1: Kita memberi mengikut apa yang kita mampu,jangan berlebihan atau terlalu kedekut. Gajah besar maka yang dipersembahkan juga besar iaitu kerbau. Belalang bersaiz kecil maka barangan yang diberi juga sekadar kemampuannya iaitu semut.


2:......




p/s: adaptasi dari penceritaan oleh ustaz Badli Shah Alauddin dalam rancangan al-kuliyyah tadi.


Wednesday, August 17, 2011

Ramadan kareem







Tetengah ramadan kini kita jejaki. Lembahnya kian berbalam,ditinggalkan. Jauhan puncak semakin jelas. Mudah-mudahan  kita sampai dipuncak,megah berdiri, terlingkung mekar bunga takwa.Haruman maghfirah dan kita suci-sesucinya.


Ramadan menyedarkan kita bahawa kita sebenarnya merajakan nafsu, berlindung disebalik hasutan syaitan dosa-dosa kita kerjakan. Hati yang persih tidak tergoda pada peletan kotor. Besar harapan supaya monopoli nafsu digulingkan, kita tabalkan monarki iman pemimpin kita.


Kebaikan yang disemai, mekar membesar dan meranum dapat dinikmati hari ini,esok dan hari-hari yang mendatang. Sempena hari penurunan al-Quran menjadikan kita lebih ghairah untuk  membaca,mentadabbur, dijelamkan pula pada amalan dalam kehidupan. 


Jangan lupakan aku dalam kudus doamu wahai sahabat.

Monday, August 8, 2011

Khawater 7 song: Maher zain







Limpahan rahmat


Bentuk peribadi Islam melalui tadarus al-Quran
Datuk Harun Taib   
Di dalam bulan Ramadhan yang mulia ini, Islam menganjurkan umatnya agar bertadarus
 membaca al-Quran. Ia berdasarkan kepada apa yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w. 
dengan Jibril berdasarkan sebuah hadis yang maksudnya:
Daripada Ibn Abbas r.a. katanya: "Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang sangat pemurah.
 Baginda sangat pemurah khususnya dalam bulan Ramadhan ketika Jibril menemuinya. 
Jibril menemuinya pada setiap malam dalam bulan Ramadhan lalu bertadarus al-Quran 
dengan baginda." (Hadis riwayat Bukhari).
Dalam hadis yang lain, Rasulullah s.a.w. bersabda yang maksudnya:
"Tidak berhimpun sesuatu kaum dalam sebuah rumah dari rumah-rumah Allah - mereka 
membaca kitab Allah dan bertadarus di antara mereka - melainkan turun kepada 
mereka ketenangan, diliputi dengan limpahan rahmat, dilingkungi oleh para malaikat 
dan dipuji oleh Allah Taala dalam kalangan (malaikat) yang ada disisinya."
 (Hadis riwayat Abi Daud).
Menurut Mohd Shamsul Haqqil 'Azim, penulis kitab Aunul Ma'bud, maksud tadarus dalam 
hadis di atas ialah berkongsi membaca al-Quran di antara satu sama lain.
Jelasnya, tadarus al-Quran adalah merupakan syiar yang diamalkan semenjak zaman awal
 Islam. Hasil daripada syiar inilah terbentuknya keperibadian Islam yang sebenarnya.
 Antara ciri-ciri keperibadian Islam adalah mempunyai akidah yang benar, ibadat yang betul,
 akhlak yang mulia, teratur dalam setiap urusannya, disiplin menggunakan waktu dan 
bermanfaat kepada orang lain.
Justeru, seseorang yang mempunyai keperibadian Islam tidak akan meninggalkan syiar 
tadarus ini. Ia adalah merupakan amalan Rasulullah s.a.w. dan para sahabat bahkan 
diberikan kelebihan yang banyak oleh Allah SWT. Ketenangan dan limpahan rahmat 
daripada Allah hasil daripada tadarus ini menjadikan seseorang itu mempunyai keperibadian
 yang istimewa dan tersendiri berbanding dengan mereka yang tidak bertadarus.
Dengan bertadarus, seseorang akan lebih rapat dengan al-Quran. Ia menjadi temannya
 yang akrab, menunjukkan jalan yang lurus dan menegurnya jika melakukan kesalahan. 
Generasi para sabahat r.a. lahir daripada keakraban ini. Bermula dengan keruntuhan akhlak 
dan moral sehingga digelar hidup dalam masyarakat jahiliyyah akhirnya menjadi peribadi 
insan yang mulia yang digelar sebagai generasi al-Quran yang unik.
Pun begitu, bertadarus tanpa beramal dengan isi kandungan al-Quran merupakan satu 
penyakit yang wujud di kalangan umat Islam yang merosakkan keperibadian muslim.
 Mereka tidak menjadikan Al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan.
Firman Allah yang maksudnya: Dan berkatalah Rasul: "Wahai Tuhanku Sesungguhnya kaumku
 telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan Yang ditinggalkan, tidak dipakai". 
(Al-Furqan: 30).
Sebagai contoh kesan daripada bertadarus al-Quran sebagaimana firman Allah s.w.t  
di dalam surah al-Jumuah ayat 2 yang bermaksud: “Dialah yang mengutus seorang rasul 
kepada kaum yang buta huruf dari kalangan mereka sendiri,yang membacakan kepada 
mereka ayat-ayat-Nya,menyucikan ( jiwa ) mereka dan mengajarkan kepada mereka 
Kitab dan Hikmah ( sunnah ),meskipun sebelumnya,mereka benar-benar dalam kesesatan
 yang nyata.”
Ayat ini menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. dalam keadaan ummi iaitu tidak tahu 
membaca dan menulis akhirnya apabila alQuran diturunkan nabi membaca dan mengajar
 kepada sahabat-sahabatnya maka kesan daripada tindakan itu lahir satu generasi seperti 
Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Bin Affan, Ali bin Abi Talib dan AbdurRahman 
bin Auf. Walaupun mereka itu pada zaman jahiliyah tergolong dalam golongan yang sesat.
Oleh kerana itulah tadarus al-Quran merupakan satu amalan yang dituntut untuk diamalkan
 oleh seluruh umat Islam khususnya para pendokong pejuang Islam supaya memahami
 tuntutan Islam itu melalui al-Quran itu sendiri.
Artikel asal:Harakahdaily

Sunday, July 17, 2011

"Aamannaa birrabil ghulaam "

"Aamannaa birrabil ghulaam "


"Aamannaa birrabil ghulaam "


"Aamannaa birrabil ghulaam "










Itu yang diulang-ulang oleh adikku dan itu jugalah yang aku dengar. Mereka sudah menuju ke kantin. Latihan pentomen sudah selesai. Esok mereka akan mementaskan dikhalayak ramai. Sama seperti teman lain yang mengambil bahagian dalam acara-acara yang berlainan.


Seperti biasa, antara kewajipan yang perlu dilunasi apabila melayani internet adalah Fb. Berhantu. Dahulu,bukan main takut untuk mendaftarkan diri kerana cerita-cerita yang sampai mengerunkan. Hari ini Fb adalah salah satu tempat untuk kita mengetahui tentang berita-berita terkini dan sensasi. Satu persatu disinggahi dan akhirnya penuh tetingkap baru dibuka.



Dewan Ulamak Kesal Hukum Demonstrasi Ditafsir 

Luar Daripada Konteks Sebenar



Itu antara pautan yang aku tatap. Yang paling menarik perhatianku adalah kisah Ashabul Ukhdud. Aku membaca dan akhirnya aku temui perkataan itu. Segala yang bermain diminda kini terjawab.


Akhirnya aku ketahui bahawa pentomen yang mereka akan persembahkan adalah kisah Ashabul Ukhdud.


"Aamannaa birrabil ghulaam"


Ia adalah ucapan rakyat yang melihat peristiwa pembunuhan seorang budak oleh raja yang zalim.




Untuk mengetahui lebih lanjut sila baca dipautan ini




P/s: - Tahniah untuk adikku arif yang menganggotai kumpulan nasyid dan berjaya merangkul tempat pertama.

- Tahniah juga buat adikku Imad yang memenangi tempat kedua dalam pertandingan kuiz.














Thursday, June 30, 2011

Rumusan Al-israk wal Mikraj


Jom Tengok.Jangan bimbang jika anda tidak mampu berbahasa Arab. Insan yang pemurah sudah menyediakan terjemahan kedalam Bahasa Melayu. Kita doakan supaya mereka diberi kekuatan oleh Allah untuk terus melakukan kebaikan ini.ameen.

Internet lambat?. Hanya lima minit sahaja durasinya. Jika saya, saya akan tekan butang play dan tinggalkannya. Ketika kita kembali ia sudah boleh dinikmati.




Kredit t0 almuttaqin.tv

Tuesday, June 28, 2011

Itu Mereka

"Aku rindukan zaman itu".

Mataku memandang  dia. Mengharapkan secebis penjelasan. Kekaburan.

"Well, ia zaman percambahan minda. Bayangkan. Sana sini menyajikan ilmu. Bebas. Mahu kesana atau singgah disini".

Aku masih seperti biasa. Membiarkan ia melontarkan kata atau lebih tepat rasa yang dia rindui.

"Apabila berkumpul, Aku membicarakan apa yang aku dapat. Dia menceritakan apa yang didengar, Kamu memberikan cacatan yang sempat diambil. Mereka membuat kesimpulan".

Perasaanku berbunga dan masa silam menerjah kembali. Kesal.

"Akhirnya kami setiap hari mampu meluaskan "kekayaan" kami. Minda kami kenyang dengan input. Kami belajar bagaimana untuk berfikir".

Friday, June 24, 2011

Belajarlah untuk menghargai

Perut mendendangkan alunan muzik 'kelaparan'. Setelah keputusan nekad diambil. Dia kini berada disini. Seperti mereka yang hanya mampu mencium harum keenakan makanan. 

Dia melihat susuk tubuh itu. Merenung, merenung dan terus merenung. Perasaan kasihan mula menguasai. Rasa untuk berbakti ini adalah anugerah tuhan. Tidak perlu melengahkannya.

" Saya kelaparan, akan tetapi saya juga kefakiran". Luahnya dengan seluhur keikhlasan.

" Hari ini, kamu berhak menikmati tanpa perlu melunasi". Ujar dia sambil tangan menghidangkan sepinggan nasi untuk dinikmati.

"Terima kasih".

" Sebenarnya ibu kamu lebih patut kamu hargai. Bayangkan setiap hari dia menyediakan kamu hidangan tanpa tuntutan". Perasaan bersalah mula tercuit.

" Jika selalu menerima benda yang sama, orang yang sama, kita jarang menghargai".

Langkah kini dipercepatkan.  Rasa bersalah dan menyesal memenuhi segenap jihat. 
" Maafkan saya ibu". Dakapan kali ini terasa lebih erat dan hangat. Air mata yang mencurah dibiarkan membasahi pipi. Ia ibarat cucian yang membasuh segala keburukan dan kejahatan yang melekat dihati.

" Makanlah. ibu tidak mampu untuk menelan sebutir nasi selepas kau lari meninggalkan ibu".

" Maafkan saya pasal kejadian tadi, sepatutnya saya tidak patul meninggalkan ibu selepas pertengkaran tadi".

Angin bertiup kencang mengigit kulit. Gambaran pagi tadi bermain diminda. Selepas berselisih dengan ibu dia terus keluar hingga terlupa untuk membawa sedikit bekalan. Semua itu, adalah hikmah dari Allah yang ingin mengajarinya melalui peristiwa yang terjadi hari ini.

p/s: adapatasi dari kisah yang disampaikan oleh ust Badlisham di slot motivasi pagi ikim.fm.

Monday, June 20, 2011

Ini cerita Saya

Kotak pemberitahuan menunjukkan angka satu. Komen atau pertambahan kawan? itu yang bermain difikiran. Seperti diduga seorang kenalan baru ingin bersahabat. Nama memang asing tetapi apabila mula menilik satu persatu gambar yang dipaparkan, ada seseorang yang agak familiar. Dua berhari berlalu dan ia sah menjadi sahabatku.


Pagi ini aku cuba berinteraksi. Bertanya khabar dan berbasa-basi. Geram. Itu yang pertama kurasa. Ia menafikan apa yang selama ini aku yakini. Tak kenal. Tak tahu. Apakah aku tersilap orang?.


Buruk sangka telah mula mengambil tempat dihatiku. Sungguh mudah Syaitan menggoda dan nafsuku tertewas.Aku cuba bertanya sesuatu. Jawapannya seperti tadi.Tak Kenal. Aku mula menggunakan taktik gertak sambal.Dia pada mulanya terkejut dan akhirnya pasrah.Aku terus bersembang di tempat lepak  yang paling besar didunia meskipun ia tidak kelihatan. 


Akhirnya. Ia terjawab. Aku yang tersilap. Kerana sekeping gambar aku tersalah. Yang kukenal bukan dia tetapi abangnya. Akhirya aku tersenyum sendirian. Bodoh dan sesalan. Itu yang merajai. Dia seorang budak yang fikirannya masih suci. Maafkan aku Aidil.Semoga terus bersungguh dalam menuntut ilmu dan mendapat kejayaan didunia dan akhirat.


"Saya kena panggil abang la ni?" . Pertanyaan luhur seorang budak.


Gambar:here


Jangan cepat bersangka buruk pada orang lain.
Jangan tersilap melihat gambar.
Jangan ......................

Friday, June 17, 2011

Mencuit Rasa

Marah, kesian , jengkel dan bermacam perasaan teradun, berpusar-pusar dan  bergelojak didalam jiwa. Mengapa insan sesempit itu dalam berfikir. Apakah emosi sudah menguasai akal sehingga kewarasan hilang? atau ia dendam?.


Disaat manusia berpusu-pusu memenuhi. Berkain pelingkat dan berbaju melayu.Beraneka warnanya. Disarungkan songkok atau kopiah dikepala. Kecil,besar, muda atau tua semuanya datang dengan niat yang satu. Anehnya mereka disajikan dengan "hidangan" yang sudah layu dan basi.


Perbezaan politik.


Alasan yang sepatutnya dipasak di kerak bumi yang paling dalam. Dunia yang semakin menuju kehancuran memerlukan pengisian yang baik agar manfaat dapat diberi kepada lautan manusia yang berkumpul. Masih adakah hari  yang penghimpunan lebih ramai dari hari ini? 


Perasaan kesian yang tadi memenuhi ruang jiwa kini berasak-asak keluar. Kelemahan bacaan ayat quran, penyampaian yang tersekat-sekat. Bukan mahu merendahkan martabat insan tetapi ia berulang-ulang dan ia sekadar contohan. Jika benar mahu mereka yang satu kandang politik untuk mengalas tugas itu carilah yang selayaknya, tidak perlu sempurna kerana kesempurnaan adalah sebuah fantasi.

Jangan kerana kita generasi akan datang menjadi Nyamuk lepas pijat-pijat kena pirik.

kredit:sini


Thursday, June 16, 2011

Sentimental









Semua gambar from  FB Tvazhar.com


Jangan lupa untuk singgah di web Tvazhar untuk mendengar untaian ilmu

Tuesday, June 14, 2011

TAk Tahu ?





Sumber : Disini


"Pernahkah kau rasa apa yang aku rasa?"


"Apa yang kau rasa?"


"Entah, aku pun tidak tahu apa yang aku rasa. Pelikkan?"


" Rasa yang tak mampu digambarkan dengan kata-kata. Indahkan?"


"Indah? "


" Indah atau gembira lahir dari perasaan. Bagaimana aku bisa berkata indah jika ia tidak mampu dimengertikan. Adakah manusia lain pernah merasainya?"


" Jangan cuba sabitkan  orang lain dalam khayalan kau.Ok?"


"Tak nak janji. Bolehkan?


" Jangan cuba peningkan orang boleh tak? "


" ......... ? "





Thursday, June 9, 2011

Sungai

Tebingnya sudah dipenuhi dengan sampah. Salah siapa?

Susah untuk melihat kanak-kanak berenang, Tiada lagi bunyi ceburan hasil  terjunan dari  pokok palas.

Pengkalan sudah reput, berlumut. lumpur memenuhi dasar tebing. Kekuningan.

Masih terbayang kanak-kanak itu terkial-kial cuba untuk mengapungkan diri, tertelan seteguk dua air, Muka yang kemerahan diselangi batuk. Terus berusaha dan akhirnya dengan bangga melawan arus yang mudik ke hilir. Tangan kanan memeluk buluh dan kaki terus menujah-nujah air.

Gelak tawa bersama sepupu dan teman.

Paling suka bila terjumpa batang pinang digigi alur. Khazanah yang tersimpan didalamnya memerlukan pernafasan dan keberanian yang jitu untuk menyelongkarinya.

Bila lagi kita dapat menikmatinya kembali?




Monday, June 6, 2011

Benarkah ?

Mereka itu bercakap dari hati atau dari nafsu? aku baru sahaja melaluinya dan mataku jelas.

Ia sangat jauh dari yang diperkatakan. Atau aku yang tidak melihat seluruhnya. Atau mereka yang memutarkannya.

Ia begitu sukar untuk dipercayai kerana jelas sudah banyak dinodai. Pesimis?

Buana kini sudah tidak seperti dahulu. "Kontaminasinya"  terlalu menebal dan membarah.

Jijik, loya dan segala macam rasa yang menerpa.

Ketahuilah, akhirnya kebenaran akan menang dan kejahatan akan terbenam.


Matahari masih lagi bersinar dan bulan masih lagi bercahaya. Bintang akan terus berkelip menyihir mata dengan kecantikannya.

Thursday, June 2, 2011

Hipokrit

" Aku malas  pakai tudung nie,bukan apa, tak nak jadi hipokrit".

" Pakai kopiah konon, tak perlu nak hipokrit lah"


Situasi diatas adalah biasa. Ia dikumandangkan oleh mereka yang kononnya mahu menonjolkan diri mereka yang sebenar. Tetapi ayuh kita berfikir sejenak, tafakkur dengan hati yang luhur, adakah dengaan kita menunjukkan akhlak kita yang tersangat " mulia " itu dikira orang yang tulus dalam penampilan.

Bukankah kita ini dilahirkan dengan fitrah yang suci?. Perjalanan ke arah fitrah yang suci itu adakah dikira sebagai hipokrit atau perjalanan yang menjauhkan kita kepada fitrah yang suci itu hipokrit?

Jangan kita tertipu pada dorongan nafsu dan syaitan yang selalu memujuk ke arah yang tercela.

Mari kita berfikir... Anda yang betul atau saya yang tersilap dalam memahami.












Monday, May 30, 2011

Jom Tengok




Dr. Afifi Al-Akiti. Rakyat Malaysia pertama dilantik felo dan pensyarah di Universiti Oxford, United Kingdom.

Tuesday, May 3, 2011

Mari Berselawat

Perlukah kita berselawat keatas Syaiduna Muhammad saw.?

Apakah yang kita dapat jika kita berselawat ke atas Junjungan Mulia saw?

Bagaimanakah cara Selawat yang terbaik?

Adakah jika tidak berselawat akan menyebab kita akan ...?

http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2011/bil5_bhg1-2011.pdf

http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2011/bil5_bhg2-2011.pdf

http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2011/bil5_bhg3-2011.pdf


 Datangi dan santuni di sini....

Sama-sama kita membaca, memahami dan dikurniakan ketekunanan dan istiqamah dalam beramal.

"Bukankah ilmu itu buahnya amal? "




" Semoga perdamaian antara hamas dan fatah  menjadi titik tolak bagi sebuah pembebasan bumi Al-Quds.

Semoga rancangan mesir untuk membuka sempadan Rafah menjadi kenyataan.

Semoga negara umat Islam yang bergolak akan aman dan umat Islam akan kembali bersatu.."

Ameeen......




Wednesday, March 23, 2011

Mahal Kita

Cinta...

Kalimah agung.
melangkau jangkauan minda,
membina tembok fana,
menjiwai rasa hamba.

Desir angin hangat mentari,
gelombang taufan mendepani,
satira,melankolik menujah sukma,
diteguk tenang tanpa membenci.

Kebinatangan kini yang menghakis diri,
menukar makna mencipta cela,
menjijik mata memual sukma,
menelan manis meludah pahit.

Kalbu dahaga titis suci,
dulang zikir ulam fikir,
khazanah tinggalan silam,
ditatap tekun mencari nurbisa.

Tuesday, March 8, 2011

Kau terlalu istimewa


Senyumanku tidak seperti selalu. Hatiku begitu gembira. Aku akan pulang ke tempat asalku. Engkau akan kutinggalkan. Mulanya aku berteka-teki samaada mahu terus bersamamu atau berpisah denganmu. Akhirnya,jelas. Kau pun melihat apa yang aku putuskan. Bagiku ini yang terbaik buatku.

Kali pertama kita bertemu, aku sangat teruja. Tiada kata yang mampu kuungkap. Tiada lukisan yang mampu kulakar hanya hati yang bisa mengerti perasaanku terhadapmu. Mataku begitu ghairah dan galak memandangmu. Maafkan aku kerana ia tidak mampu kutahan. Ketahuilah bukan aku sahaja yang berkelakuan begitu mereka juga sepertiku.

Semalam  kutahu engkau terluka. Terseksa. Belon kesabaranmu sudah pecah dicucuk duri kemahuan. Aku disini sentiasa bertanya khabar tentangmu, berdoa semoga engkau akan tersenyum seperti dahulu – saat pertama kita bertemu. Lukamu begitu menyakitkan hatiku kerana kau teristimewa bagiku. Biar mereka menghina, kau lestari dihatiku. Aku pernah terhiris denganmu, merajuk, menjeruk marah tetapi semua itu akhirnya menjadi pembakar rinduku.

“ Aku juga rindukan dia”. Begitulah jawapan temanku saat aku bertanya tentangmu. Engkau dirindui oleh semua. Aku tidak dapat memilikimu sepenuhnya kerana kau milik semua. Siapakah aku untuk berkata tidak pada kerinduan mereka padamu.

“ Bagaimana keadaan ‘dia’?”.

“ terluka. Itu semua kerja mereka yang menipu dalam cinta”.

Aku terkesima. Ku cuba bayangkan, ternyata ia menyakitkan. “ Semoga “dia” akan kembali sembuh – memukau manusia dengan senyumanmu”. Doaku untukmu.

Hari ini kau kembali menguntumkan senyumanmu. Senyuman yang pernah menarik aku untuk mencintaimu.  Meskipun ia tidak seindah dahulu.Kuharap ia permulaan pada kebahagiaan buatmu. Aku cuba untuk berjujur pada sukmaku. Ternyata tiada siapa yang dapat kucari untuk menganti kekosongan yang kau tinggalkan.Cinta yang pertama tidak mampu ditandingi oleh cinta kedua dan ketiga.

Wahastini awi

Friday, March 4, 2011

Ishlunak


Sekali pandang, kelihatan van itu dipenuhi rakyat tempatan.  Semuanya laju. Ada yang membelok ke kanan,ke kiri ada juga yang mengambil pusingan u –mungkin tersilap jalan atau destinasi tujuan berada disana yang memerlukan meraka berbuat demikian.

Senyuman dilemparkan kepada penumpang yang berada disebelahnya. Orang itu  bukan seperti mereka. Gaya percakapan begitu asing. Dia cuba memberanikan diri untuk bertanya khabar. Cuba untuk mengikat silaturrahim.

“Ishlunak?”.

“Ana aswad’. Jawabnya dalam nada perlahan.

Senyuman masih lagi terukir. Dia bertanya lagi “Ishlunak?”.Orang asing itu merenungi penumpang lain. Akhirnya mata itu bertemu dengan matanya.

“Ana aswad”. Kali ini nada suara sedikit tinggi.Ditepi tingkap senyuman kecil tercipta. tawanya sekadar bertamu di cuping telinga sendiri dan hilang diragut desir angin.

“ishlunak?”. Kalimah itu dilontarkan lagi.“Apakah dia tidak dengar atau sengaja berbuat begitu? Sudah dua kali jawapan yang diberi. Sepatutnya pertanyaan itu tidak perlu disoal kerana ia sudah terpampang dimatanya”. Begitulah getus hati kecil itu
.
Semua orang terkesima. Gelombang suara yang baru terhempas membadai telinga mereka.

“Ana aswad. Kau tak nampak ke kulit aku?”. Mukanya kemerahan menahan amarah.Terkebil-kebil dia diherdik begitu. Niatnya yang mulia disalah erti.  Mahu sahaja dilepaskan penumbuk ke muka lelaki asing itu. Tetapi itu semua perlu dipertahankan agar syaitan tidak merajai.

“ Ya sadiqi, kau sudah salah faham. Dia bertanya tentang khabar mu, bukan kulit mu”. Terang lelaki yang duduk di tepi tingkat itu. Kejadian seperti ini sudah sering ia temui.

“ishlunak bermaksud apa khabar?”. Bukan apa warna kulit mu. Sepatutnya kau jawab zain(baik)”.

“Begitukah?”. Soalnya. Rasa bersalah mula menjalari hatinya. Dengan senyuman dia mula menghulurkan tangan memohon kemaafan atas kekhilafan tadi.

“aku juga bersalah,maafkan aku sahabat”.

p/s:
1.       Adaptasi dari penceritaan prof madya dr. Ismail Yusof.
2.       Perkataan yang sama dan biasa mungkin akan menjadi luar biasa di tempat lain.

Wednesday, March 2, 2011

Khabar siang


Kedengaran bergema gelak ketawa di sudut kanan.  Dibawah sekumpulan pemimpin masa hadapan rancak bercerita. Rencam , tentang masa hadapan,  mungkin juga ‘aktiviti pemuda’. Terlindung di sebalik tiang tersengguk-sengguk mengangguk-angguk mungkin terlebih faham.
Kanak-kanak mula ghairah. Usik-mengusik. Tawa mula bertingkah. Nun jauh dihadapan, susuk tubuh tua sedang memegang tongkat sambil mata bertukar-tukar pandangan diantara lembaran dan pendengar.  Suaranya tenggelam dalam kelantangan pendengar.
Waktu emas ini tidak mampu menjadi medan untuk memberi. Peringatan yang disampaikan hanya berlalu melewati telinga penyampai sendiri dan terbang ditiup angin. Perhimpunan yang berlaku seolah kurang berjaya dimaksimumkan. Kelemahan penyampai dan kekurangan komitmen pendengar menyebabkan kerugian berlaku.  Mungkin perkara  ini perlu ditimbangkan oleh mereka yang memegang amanah.
Jika mereka tidak sebulu dengan kita, carilah pemuda yang sealiran dengan kita kerana  semangat pemuda dan segala kelebihan yang diberikan perlu dimanfaatkan. Segala kelemahan pemuda perlu diajari agar kelestarian harmoni dan mawaddah dinikmati. Kesegaran ‘isi’ mesti diambil perhatian. Kemanisan, dan kepuasan dalam menikmati perlu diberi keutamaan. Mengambil kesempatan dalam misi mengaut keuntungan perlu dijauhkan kerana ia medan peringatan bukan perniagaan.

Friday, February 25, 2011

Kita(aku)


Setiap kali ia terlakar, ia akan terpadam atau tersimpan. Mengapa? Ia memerlukan satu penelitian. Bukan sengaja mahu membiarkan ia kekosongan tetapi ketandusan sering bertandang. Patah-patah yang direnda akhirnya terlerai dilurut gunting kekusutan. Kita(aku) melihat,memerhati kehebatan mereka mencantum abjad-abjad menghasilkan bangunan perkataan yang memukau ,terdetik di sukma bagaimana mereka melakar?.
Ya… mereka pernah memberi, secara tersurat atau tersirat, sayang  kita(aku) masih belum mampu menyusuri kedalaman lautan yang bukat. Gunung yang puncaknya tersayup mata memandang. Kita(aku) melompat ke tebing sana, kelihatan tenunan mereka biasa tetapi memikat. Aduh… mungkin kita (aku) akan mengeleng-geleng kepala kerana pening dalam kebingungan.
Kita(aku) boleh tersenyum,terharu,marah apabila untaian mereka kita(aku) selusuri. Mereka menulis dalam rasa hingga kita(aku) lemas dalam rasa buatan mereka. Tiba-tiba tamparan keras mengejutkan dari angan-angan.
“Ya… mereka juga pernah begini.”
 “Tuduhan kamu beserta bukti?”. Tanya Sang Hati.
“Percakapan yang sandaran atau hujahnya tiada akan ditolak dan dibuang”.  Lantang Sang Akal memberi peringatan.
Kita(aku) tersenyum sambil mata menangkap  sinar amaran yang terpancar di wajah Sang Akal.
“Benar. Katamu itu amat benar. Kita(aku) punya bukti. Mereka yang memberitahu. Cuba-cubalah engkau selidiki pasti engkau akan temui”.
“Dimana dan bila kita(aku) tidak akan nyatakan. Gunalah kebijaksanaan,  ketajaman fikiran untuk membongkarkan”.
Logiknya, bangunan yang megah pada hari ini bermula dari sebongkah batu. Tenunan yang cantik bermula dari setitik warna. Lembaran yang dipegang atau ditatap bermula dengan satu abjad.