Kereta mula menderum laju membelah aspal. Clucth ditekan sambil tangan menujah gear ke takat yang seterusnya. Lorong kiri ditinggalkan menuju ke lorong yang lebih selesa dan sesuai untuk pemanduan tahap ini.
"Pemimpin yang sudah tiada kemampuan untuk mentadbir negara perlu berundur secara terhormat. Bukanlah keaiban jika berbuat demikian kerana ia pernah dilakukan oleh khalifah Islam".
"Betul juga tu". Gumanku dalam hati sambil mata masih galak melihat aspal yang berlubang disana-sini.
Hujahan demi hujahan dilontarkan.
"Orang sekarang sudah melupai bahawa untuk memilih pemimpin kita perlu melihat kepada sejauh mana keimanan".
"Bukankah pemimpin yang beriman dapat menyelamatkan kita dari kehancuran dunia dan kedahsyatan hari akhirat". Akalku cuba menyokong saranan penceramah itu.
Kekayaan harta pemimpin bukanlah syarat utama walaupun ia menjadi perhatian manusia kerana Allah telah merakamkan didalam al-Quran tentang pelantikan Talut sebagai raja yang mempunyai keluasan ilmu dan keperkasaan tubuh badan. Walaupun tidak mempunyai harta sebagaimana yang dikehendaki oleh kaum bani Israil itu.
Tidakkah engkau ketahui (wahai muhammad), tentang (kisah) ketua-ketua dari Bani lsrail sesudah (wafatnya) Nabi Musa, ketika mereka berkata kepada seorang Nabi mereka: "Lantiklah seorang raja untuk kamu, supaya boleh kami berperang (bersama-sama dengannya) pada jalan Allah" Nabi mereka menjawab: "Tidakkah harus, jika kamu kelak diwajibkan berperang, kamu tidak akan berperang?," Mereka berkata: "Mengapa pula kami tidak akan berperang pada jalan Allah, sedang kami telah diusir dari kampung halaman kami, dan (dari) anak-anak kami?" Maka apabila perang itu diwajibkan atas mereka, mereka membelakangkan kewajipan itu, kecuali sebahagian kecil dari mereka. Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan orang-orang yang zalim. (Al-Baqarah 2:246)
Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka: "Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya. (Al-Baqarah 2:247)
Hujan mula menajun kencang menumbuk-numbuk cermin keretaku. Nun jauh dipadang hijau padi mula meliuk-lintuk mengikut tarian yang ditarikan oleh sang bayu.
No comments:
Post a Comment