Tuesday, March 8, 2011

Kau terlalu istimewa


Senyumanku tidak seperti selalu. Hatiku begitu gembira. Aku akan pulang ke tempat asalku. Engkau akan kutinggalkan. Mulanya aku berteka-teki samaada mahu terus bersamamu atau berpisah denganmu. Akhirnya,jelas. Kau pun melihat apa yang aku putuskan. Bagiku ini yang terbaik buatku.

Kali pertama kita bertemu, aku sangat teruja. Tiada kata yang mampu kuungkap. Tiada lukisan yang mampu kulakar hanya hati yang bisa mengerti perasaanku terhadapmu. Mataku begitu ghairah dan galak memandangmu. Maafkan aku kerana ia tidak mampu kutahan. Ketahuilah bukan aku sahaja yang berkelakuan begitu mereka juga sepertiku.

Semalam  kutahu engkau terluka. Terseksa. Belon kesabaranmu sudah pecah dicucuk duri kemahuan. Aku disini sentiasa bertanya khabar tentangmu, berdoa semoga engkau akan tersenyum seperti dahulu – saat pertama kita bertemu. Lukamu begitu menyakitkan hatiku kerana kau teristimewa bagiku. Biar mereka menghina, kau lestari dihatiku. Aku pernah terhiris denganmu, merajuk, menjeruk marah tetapi semua itu akhirnya menjadi pembakar rinduku.

“ Aku juga rindukan dia”. Begitulah jawapan temanku saat aku bertanya tentangmu. Engkau dirindui oleh semua. Aku tidak dapat memilikimu sepenuhnya kerana kau milik semua. Siapakah aku untuk berkata tidak pada kerinduan mereka padamu.

“ Bagaimana keadaan ‘dia’?”.

“ terluka. Itu semua kerja mereka yang menipu dalam cinta”.

Aku terkesima. Ku cuba bayangkan, ternyata ia menyakitkan. “ Semoga “dia” akan kembali sembuh – memukau manusia dengan senyumanmu”. Doaku untukmu.

Hari ini kau kembali menguntumkan senyumanmu. Senyuman yang pernah menarik aku untuk mencintaimu.  Meskipun ia tidak seindah dahulu.Kuharap ia permulaan pada kebahagiaan buatmu. Aku cuba untuk berjujur pada sukmaku. Ternyata tiada siapa yang dapat kucari untuk menganti kekosongan yang kau tinggalkan.Cinta yang pertama tidak mampu ditandingi oleh cinta kedua dan ketiga.

Wahastini awi

No comments: