Wednesday, March 2, 2011

Khabar siang


Kedengaran bergema gelak ketawa di sudut kanan.  Dibawah sekumpulan pemimpin masa hadapan rancak bercerita. Rencam , tentang masa hadapan,  mungkin juga ‘aktiviti pemuda’. Terlindung di sebalik tiang tersengguk-sengguk mengangguk-angguk mungkin terlebih faham.
Kanak-kanak mula ghairah. Usik-mengusik. Tawa mula bertingkah. Nun jauh dihadapan, susuk tubuh tua sedang memegang tongkat sambil mata bertukar-tukar pandangan diantara lembaran dan pendengar.  Suaranya tenggelam dalam kelantangan pendengar.
Waktu emas ini tidak mampu menjadi medan untuk memberi. Peringatan yang disampaikan hanya berlalu melewati telinga penyampai sendiri dan terbang ditiup angin. Perhimpunan yang berlaku seolah kurang berjaya dimaksimumkan. Kelemahan penyampai dan kekurangan komitmen pendengar menyebabkan kerugian berlaku.  Mungkin perkara  ini perlu ditimbangkan oleh mereka yang memegang amanah.
Jika mereka tidak sebulu dengan kita, carilah pemuda yang sealiran dengan kita kerana  semangat pemuda dan segala kelebihan yang diberikan perlu dimanfaatkan. Segala kelemahan pemuda perlu diajari agar kelestarian harmoni dan mawaddah dinikmati. Kesegaran ‘isi’ mesti diambil perhatian. Kemanisan, dan kepuasan dalam menikmati perlu diberi keutamaan. Mengambil kesempatan dalam misi mengaut keuntungan perlu dijauhkan kerana ia medan peringatan bukan perniagaan.

No comments: