Monday, January 24, 2011

Tersasar

Kita tidak bisa berpijak diatas tapak yang sama. Sesekali perlu melompat untuk kesana. Hamparan permaidani bukan selalunya indah. Becak yang tertimbul mampu mencipta tawa. Dingin penyaman udara tidak sesuci hembusan hijau. Menyentuh mulus tanpa dusta. Ketenangan kicauan burung tidak tertanding jeritan jiwa. Alunan yang berahsia. Abadi dan damai.

Tidak semua perlu dijelaskan. Tersembunyi bukan tiada tetapi terhadang dari terzahir. Jauh terhiris apalagi terguris. Kecewa itu perkara biasa tetapi jangan terdera pada yang tak kekal. Suka itu nikmat tetapi duka itu jua keramat. Apabila diperhalusi ia adalah rahmat.

Bintang masih lagi disana. Menghiasi tanpa sirna. Bulan juga begitu, masih setia memberi cahaya. Walaupun hakikat bintang lebih besar tetapi bulan lebih tersinar kerana jarak yang berbeza.

Friday, January 21, 2011

Ketahuan

Lampu kalimantan menerangi jihat. Diatas kerusi rotan tersimpuh insan. Mata terarah ke paparan kaca. Tangannya mengaru-garu kepala yang kegatalan. Kelemumur mungkin bersarang. Mengigit tanpa belas kasihan.

Dia datang dengan berkaca mata. Kain pelikat dan jua baju pagoda. Senyuman hadiah yang tak dilupa. Sedekah yang termudah ganjaran yang melimpah. Kerusi rotan terhenyak sedikit  menerima jisim yang sedikit buncit.

" Aku setuju".

"Sepatutnya sudah lama". Kaca matanya ditekan.

" Apa yang baik kita terima ". Terus memberi komen tentang apa yang dipaparkan.

Layar kaca itu memuntahkan babak-babak cerita. Tentunya akan menjadi bualan. Seharusnya disepakati akan anjuran tetapi manusia pasti ada yang mahu dikhilafkan. Terlontar jauh ke bumi yang ditinggalkan. Sudah lama diamalkan. Tetapi aku tetap berpegang, jangan dihalang akan kebaikan kerana kejahatan itu yang paling layak ditentang.

Darjat mereka sudah diangkat. Walaupun hakikat memang termaktub dalam agama langit. Manusia yang dibutakan yang menurunkannya. Harapnya, mereka memaksimumkan penggunaan. Terhadang cela tertampang keji. 

Bila permata sudah terhijab jangan pula ada yang menyelak. 

Wednesday, December 29, 2010

Aku, mereka dan dia 2

Pantai kelihatan dibadai kuat oleh ombak. Melangit kemudian menjunam laju menolak pepasir. Semilir bayu dingin melayukan mata. Langit masih lagi menghamburkan titisan air membentuk lopak-lopak kecil di bumi. Suram cahaya lampu membalamkan pemandangan.

Ikhlas.

Mungkin itu yang aku boleh katakan. Lewat apa yang dipertuturkan. Kefahamanku menjerat aku membuat tafsiran itu. Terimbau kalam-kalam yang pernah melalui cuping telingaku. Tercantum satu persatu membentuk sebuah tetingkap kenangan. Aku mula mendengar syarahan  tentangnya ketika diri masih lagi belum mengerti apa itu sebuah kehidupan. Ia berulang-ulang sehingga kini. Tidak pernah jemu kerana semuanya ada input yang baru. Membesar bersama kedewasaan. 

Bayangkan kita bekerja pagi dan petang. Siang mahupun malam. Kondisi senang atau sukar. Berpanas hujan semua kita lakukan demi sebuah pengorbanan. Tetapi walhasil seumpama debu berterbangan. Hilang ditiup angin hinggap dijendela usang tanpa jemputan. Hadir bersama kesengsaraan. 

Umat dahulu selepas mereka berperang. Harta rampasan bukan diagihkan tetapi dipersembahkan untuk Pemilik alam. Timbunan harta dikumpul disatu tempat dan mata-mata mula menyaksikan akan sebuah penerimaan. Api datang memakan harta itu tanda sebuah keikhlasan. Begitulah ia berlaku. Tetapi terjadi pada satu ketika, api itu hanya melewati tanpa menyambar harta itu. Kebingungan yang melanda memerlukan sebuah jawapan. Seorang demi seorang dipersoalkan. Semuanya menyerahkan. Selang masa berlalu maka terhidang sebuah jawapan. Emas sebesar kepala lembu disimpan oleh panglima. Setelah ia diserahkan hilang dari pandangan dek api yang membaham.

Allah sahaja yang mengetahui akan sebuah keikhlasan. Manusia hanya mampu melihat luaran tetap terhijab apa yang didalam. 

Apa jua yang kita lakukan harap ia diterima sebagai amalan.Soleh lagi  berkelayakan. Kerana niat itu titik mula sebuah penerimaan.

Pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Ugama yang benar. Al- Bayyinah: 98:05


Ikhlas dan ikhlas.


p/s:MAlaysia akan bertemu Indonesia di GBK. Semoga kemenangan milik kita. Seperti Man utd menerkam sunderland malam ini pula giliran birmirgham. Bukan seperti Chelsea yang kesedihan diaibkan arsenal yang kesengalan. 

Friday, December 24, 2010

Aku, mereka dan dia

Aku bersimpuh. Tenang. Butir-butir percakapan beliau jelas.Satu persatu. Otak mula bekerja agar terpatri kejap. Menusuk kalbu. Sunyi dan penuh tumpuan. Hujan masih setia membasahi bumi. Suram. Melihat sekeliling.  Semua larut dalam syarahannya.

Dia masih berdiri. Melontar kalam-kalam hikmah. Pedoman buat semua. Sekejap pandangannya kekanan. kekiri. Hilai tawa bergema. Sesekali berjenaka. Tiba-tiba lantang ia menutur kalam Allah yang bermaksud.

Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. Fussilat 34-35.

Aku dan mereka masih setia memetia. Masih dahaga akan pedoman. Terangguk-angguk membenarkan bicaranya. Berfikir tentang apa yang ingin disampaikannya.

Bukan senang untuk mengamalkannya. Sabar,sabar dan bersabar. Itu perkara yang perlu ada pada mereka. Orang yang ingin melaksanakannya. Ganjaran yang besar untuk mereka didunia dan akhirat. Aku tersenyum sendirian. Benar. Bersama orang berilmu banyak manfaatnya. Aku, semakin hari makin terasa. Kerugian. Lapangan ini mengajar segala-galanya. Ilmu perkara yang terpenting.

Dia terus setia. Mendidik kami. Aku ibarat cucu yang kebodohan  dalam lautan keilmuan seorang datuk.

Bayangkan, orang mencerca kita. Kita masih tersenyum. Orang memprovokasi. Senyum masih terukir tenang.
Apa saja yang datang dari perkara bernama kejahatan. Kita balasi dengan kebaikan. Senang dituturkan payah untuk diamalkan. Sabar itulah tunjang.

Bukankah kejahatan yang dibalas dengan kejahatan itu martabat keadilan. Benar, tetapi kejahatan yang dibalas dengan kebaikan itu martabatnya ialah kemuliaan. Awas jangan melampau kerana ia menjerumuskan kita ke martabat yang hina martabat kezaliman.

Akhirnya lawan menjadi kawan jika kejahatan sentiasa dibalasi dengan kebaikan. Musuh tiada dalam kamus kehidupan semuanya bertukar menjadi sahabat setia. Manisnya ajaran Islam.

Terimbau kenangan lalu. Kenangan di sana. Tika melewati satu lorong. Sahabatku melontarkan satu persoalan." Apa perkara yang tidak ditentukan ganjarannya?". Berfikir. Berbagai jawapan diberikan. Semuanya tidak bertepatan. Dalam senyum sahabatku merungkai persoalan memberi akan jawapan "Sabar". Terlintas difikiran akan satu firman tuhan. Terima kasih Sahabat(Guru) atas perkongsian ilmu.

Semoga diberi kekuatan untuk mengamalkannya.