Wednesday, March 2, 2011

Khabar siang


Kedengaran bergema gelak ketawa di sudut kanan.  Dibawah sekumpulan pemimpin masa hadapan rancak bercerita. Rencam , tentang masa hadapan,  mungkin juga ‘aktiviti pemuda’. Terlindung di sebalik tiang tersengguk-sengguk mengangguk-angguk mungkin terlebih faham.
Kanak-kanak mula ghairah. Usik-mengusik. Tawa mula bertingkah. Nun jauh dihadapan, susuk tubuh tua sedang memegang tongkat sambil mata bertukar-tukar pandangan diantara lembaran dan pendengar.  Suaranya tenggelam dalam kelantangan pendengar.
Waktu emas ini tidak mampu menjadi medan untuk memberi. Peringatan yang disampaikan hanya berlalu melewati telinga penyampai sendiri dan terbang ditiup angin. Perhimpunan yang berlaku seolah kurang berjaya dimaksimumkan. Kelemahan penyampai dan kekurangan komitmen pendengar menyebabkan kerugian berlaku.  Mungkin perkara  ini perlu ditimbangkan oleh mereka yang memegang amanah.
Jika mereka tidak sebulu dengan kita, carilah pemuda yang sealiran dengan kita kerana  semangat pemuda dan segala kelebihan yang diberikan perlu dimanfaatkan. Segala kelemahan pemuda perlu diajari agar kelestarian harmoni dan mawaddah dinikmati. Kesegaran ‘isi’ mesti diambil perhatian. Kemanisan, dan kepuasan dalam menikmati perlu diberi keutamaan. Mengambil kesempatan dalam misi mengaut keuntungan perlu dijauhkan kerana ia medan peringatan bukan perniagaan.

Friday, February 25, 2011

Kita(aku)


Setiap kali ia terlakar, ia akan terpadam atau tersimpan. Mengapa? Ia memerlukan satu penelitian. Bukan sengaja mahu membiarkan ia kekosongan tetapi ketandusan sering bertandang. Patah-patah yang direnda akhirnya terlerai dilurut gunting kekusutan. Kita(aku) melihat,memerhati kehebatan mereka mencantum abjad-abjad menghasilkan bangunan perkataan yang memukau ,terdetik di sukma bagaimana mereka melakar?.
Ya… mereka pernah memberi, secara tersurat atau tersirat, sayang  kita(aku) masih belum mampu menyusuri kedalaman lautan yang bukat. Gunung yang puncaknya tersayup mata memandang. Kita(aku) melompat ke tebing sana, kelihatan tenunan mereka biasa tetapi memikat. Aduh… mungkin kita (aku) akan mengeleng-geleng kepala kerana pening dalam kebingungan.
Kita(aku) boleh tersenyum,terharu,marah apabila untaian mereka kita(aku) selusuri. Mereka menulis dalam rasa hingga kita(aku) lemas dalam rasa buatan mereka. Tiba-tiba tamparan keras mengejutkan dari angan-angan.
“Ya… mereka juga pernah begini.”
 “Tuduhan kamu beserta bukti?”. Tanya Sang Hati.
“Percakapan yang sandaran atau hujahnya tiada akan ditolak dan dibuang”.  Lantang Sang Akal memberi peringatan.
Kita(aku) tersenyum sambil mata menangkap  sinar amaran yang terpancar di wajah Sang Akal.
“Benar. Katamu itu amat benar. Kita(aku) punya bukti. Mereka yang memberitahu. Cuba-cubalah engkau selidiki pasti engkau akan temui”.
“Dimana dan bila kita(aku) tidak akan nyatakan. Gunalah kebijaksanaan,  ketajaman fikiran untuk membongkarkan”.
Logiknya, bangunan yang megah pada hari ini bermula dari sebongkah batu. Tenunan yang cantik bermula dari setitik warna. Lembaran yang dipegang atau ditatap bermula dengan satu abjad. 


Monday, January 24, 2011

Tersasar

Kita tidak bisa berpijak diatas tapak yang sama. Sesekali perlu melompat untuk kesana. Hamparan permaidani bukan selalunya indah. Becak yang tertimbul mampu mencipta tawa. Dingin penyaman udara tidak sesuci hembusan hijau. Menyentuh mulus tanpa dusta. Ketenangan kicauan burung tidak tertanding jeritan jiwa. Alunan yang berahsia. Abadi dan damai.

Tidak semua perlu dijelaskan. Tersembunyi bukan tiada tetapi terhadang dari terzahir. Jauh terhiris apalagi terguris. Kecewa itu perkara biasa tetapi jangan terdera pada yang tak kekal. Suka itu nikmat tetapi duka itu jua keramat. Apabila diperhalusi ia adalah rahmat.

Bintang masih lagi disana. Menghiasi tanpa sirna. Bulan juga begitu, masih setia memberi cahaya. Walaupun hakikat bintang lebih besar tetapi bulan lebih tersinar kerana jarak yang berbeza.

Friday, January 21, 2011

Ketahuan

Lampu kalimantan menerangi jihat. Diatas kerusi rotan tersimpuh insan. Mata terarah ke paparan kaca. Tangannya mengaru-garu kepala yang kegatalan. Kelemumur mungkin bersarang. Mengigit tanpa belas kasihan.

Dia datang dengan berkaca mata. Kain pelikat dan jua baju pagoda. Senyuman hadiah yang tak dilupa. Sedekah yang termudah ganjaran yang melimpah. Kerusi rotan terhenyak sedikit  menerima jisim yang sedikit buncit.

" Aku setuju".

"Sepatutnya sudah lama". Kaca matanya ditekan.

" Apa yang baik kita terima ". Terus memberi komen tentang apa yang dipaparkan.

Layar kaca itu memuntahkan babak-babak cerita. Tentunya akan menjadi bualan. Seharusnya disepakati akan anjuran tetapi manusia pasti ada yang mahu dikhilafkan. Terlontar jauh ke bumi yang ditinggalkan. Sudah lama diamalkan. Tetapi aku tetap berpegang, jangan dihalang akan kebaikan kerana kejahatan itu yang paling layak ditentang.

Darjat mereka sudah diangkat. Walaupun hakikat memang termaktub dalam agama langit. Manusia yang dibutakan yang menurunkannya. Harapnya, mereka memaksimumkan penggunaan. Terhadang cela tertampang keji. 

Bila permata sudah terhijab jangan pula ada yang menyelak.