Sunday, March 28, 2010

Anugerah Sakit

Kesakitan adalah anugerah. Pemberian dari Allah kepada hambanya. Jika kita fikirkan, kesakitan menyebabkan kita akan mula mengingati akan "Tuan" pemilik kepada kesakitan dan kesihatan. Kesakitan menjadi wasilah untuk kita kembali menjadi hamba yang sangat memerlukan pertolongan dari "Tuan" yang Maha Memberi.




Kesihatan sering menyebabkan kita terlalai dalam melakukan tugas yang diamanahkan. Nama Allah akan sering meniti di bibir apabila kesakitan menjengah. Ibadah dilakukan dengan penuh khusyuk dan rendah diri apabila kita ditujah oleh kesakitan. Bayangkan tanpa kesakitan mungkin kita akan terus lalai dalam kehidupan yang penuh hina sehingga apabila datang waktu yang ditetapkan kita akan menyesal kerana telah terpedaya pada dunia.



Bersyukurlah pada nikmat kesakitan yang dengannya kita mensyukuri nikmat sihat. Ujian yang datang akan menghapuskan dosa dan menambah keimanan kita. Firaun adalah contoh manusia yang tidak pernah sakit. Nikmat sihat yang ada menyebabkan tertipu lantas mengaku menjadi tuhan. Ditambah dengan Sikap takbur yang terlalu tinggi menyebabkan sehingga saat maut datang beliau masih lagi belum mahu untuk menyebut nama Allah tetapi menyebut beriman dengan Tuhan yang diimani oleh Bani Israil..

"Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)". (Yunus:90).

Monday, March 22, 2010

Istighfar

 Bissmilahhirahmannirahhim.



Kalimah istighfar iaitu kalimah untuk memohon ampun kepada Allah atas kesalahan yang dilakukan. Anak adam tidak akan terlepas dari melakukan kesalahan. Sewajarnya kita sentiasa melazimi istighfar agar titik hitam tidak akan memenuhi ruang hati kita.

Tempat yang digalakkan untuk beristghfar adalah :

1-Selepas selesai melakukan ibadat.
2- Ketika waktu sahur (waktu sahur bermula pada tengah malam).
3- Apabila selesai sesuatu majlis.
4- Selepas selesai mengembumikan jenazah.
5- Sebelum melelapkan mata iaitu sebelum tidur.

Wednesday, March 17, 2010

Jom lakukan

Assalamualaikum...

Ingin berkongsi satu perkara yang perlu ada dalam sebuah keluarga. Untuk yang telah berkahwin harus mengambil ihtimam dan bagi yang belum mari kita cuba jadikan ia satu dalam agenda penting bila kita berumahtangga nanti.

Jika anda sudah melakukannya anda termasuk dalam yang beruntung, bagi yang belum ayuh kita cuba lakukan semoga sakinah,mawaddah,mahabbah wujud dalam keluarga kita.

Pesanan ini disampaikan oleh Habib Hussein as-Saqaff hafizohullah dalam salah satu khutbahnya yang menyuruh kita sebagai ibubapa dapat melakukannya sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan. Ibu bapa diminta berkumpul bersama anak-anak  dan menceritakan tentang Allah dan Rasulullah saw walau dalam detik waktu yang sedikit kerana kita perlukan anak-anak yang membesar bersama penghayatan yang tinggi mengenai Allah dan Rasul saw untuk mewujudkan masyarakat madani yang kian ketandusan mutakhir ini.

Ibu bapa perlu bijak dalam mengolahkan cerita sesuai dengan kemampuan anak kerana kejayaan anda menyampaikannya membuatkan anda akan bahagia didunia dan akhirat dan natijahnya melahirkan masyarakat yang madani..

Pengajian sirah Jungjungan yang mulia sayyidina Muhammad saw adalah ubat yang mujarab untuk apa yang berlaku pada masa kini. Role model yang sangat elok untuk diikuti kerana Nabi Muhammad saw adalah insan yang terpilih dari kalangan yang terpilih yang memancarkan rahmat seluruh alam.

Wednesday, March 3, 2010

Neko

 Neko

Aiman memerhatikan gelagat kucing kesayangan Kak Inanya yang baru kematian anak. Dijilat anaknya itu dengan penuh kasih sayang. Pandangannya yang sayu meruntunkan hati Aiman menjiwai apa yang dirasai oleh ibu kucing itu. Kolam matanya tidak lagi mampu untuk dibendung merembeskan titis-titis air jernih menjalari pipinya yang putih.

"meow... meow..." sungguh sayu bunyinya. Kelihatan beberapa ekor lagi kucing lain mengerumuni Neko yang sudah meninggalkan mereka tanpa diketahui puncanya. Semalam Neko begitu riang melompat cuba menangkap bola kecil. Badannya yang dipenuhi bulu yang cantik digesel-gesel manja dipipinya. Semenjak Kak Inanya bekerja di Kuala Lumpur, Neko menjadi akrab dengan dia kerana hanya dirinya  yang suka bergurau dan melayan telatah Neko.

"Mak... ada nampak Neko tak?". Ujarnya pada emak yang sedang menyediakan makan malam untuk mereka.

" Tak ada, kenapa? petang tadikan ada kat luar tu". Jawab emak sambil tangannya ligat memotong ulam timun kesukaan ayah.

Sudah puas dicari, segenap ceruk rumah digeledah tapi batang tubuh Neko tidak kelihatan. Kebiasaannya kucing itu akan kedapatan berhampiran reban ayam seramanya. Fikirannya buntu, dimana lagi dia perlu mencari Neko.

***

"Abang... mari makan ni!". lamunannya terhenti mendengar laungan dari emaknya. Perutnya mula menyanyikan lagu kelaparan setelah seharian tidak menjamah nasi. Pagi tadi hanya sekeping roti yang sempat dihadam kerana perutnya terasa seolah mual untuk menerima makanan. Tangannya cepat dibilas dengan air agar bersih dari kekotoran kerana jika tangan yang kotor akan membawa bersamanya kuman yang mengakibatkan penyakit. Sejak kecil lagi dia sudah diajar untuk melakukan sedemikian kerana ibunya berkata itu anjuran dari Nabi Muhammad sollallahu alaihi wa 'ala alihi wasohbihi wasallam.

Apa sahaja yang datang dari Rasulullah sollallahu alaihi wa 'ala alihi wasohbihi wasallam harus diamalkan kerana baginda sollallahu alaihi wa 'ala alihi wasohbihi wasallam datang mengajari apa yang baik untuk umatnya kerana ia adalah dari Allah subhanahu wata'ala yang menjadikan manusia. Allah subhanahu wata'ala tahu apa yang baik untuk makhlukNya kerana Dia yang menjadikan semua makhlukNya.

Sains hari ini telah banyak membongkar kebenaran dan kesesuaian apa yang diajar oleh Baginda sollallahu alaihi wa 'ala alihi wasohbihi wasallam walaupun baginda telah meninggalkan kita selama 1431 tahun.

"Aiman, bacakan doa makan!". Perintah ayahnya yang baru sahaja memperkemaskan silanya. Lancar sahaja dia tuturkan doa makan yang telah sebati dengan diri semenjak berumur empat tahun lagi dihafalnya. Nenek Mek yang ajarkannya dahulu.

***

Matanya bulat merenung skrin television yang menyajikan berita yang meruntun hatinya dan menaikkan amarahnya. Marcapada seolah telah  sirna nilai kemanusian. Anak yang tak berdosa dibuang tanpa belas kasihan. Tong sampah,longkang,loji air,tandas menjadi saksi kebinatangan manusia yang sudah melupakan pahala dan dosa. Melupakan destinasi abadi yang akan disoal apa yang dilakukan dan akan dilunasi segala hutang piutang dunia.

Berapa ramai pasangan yang sanggup menjalani pelbagai rawatan untuk mendapatkan zuriat penerus perjuangan. Dukun,pawang,doktor, ubat-ubatan,herba semua dilakukan untuk mendapatkan apa yang dihajati. Tapi binatang itu tidak pernah mensyukuri apa yang diberi. Melakukan perbuatan terkutuk tanpa sedikit terdetik kekesalan.

Nanar...

Otaknya bingung memikirkan generasi hari ini yang sudah jauh dari tuhan. Ingatannya pada neko kembali menerjah fikirannya. Kucing lebih menghargai nikmat dari manusia yang bertuhankan syaitan. Rasa kasih dan sayang wujud pada kucing tetapi manusia seolah-olah sudah kehilangannya.

 
“ Ya Allah Ya Tuhanku, berikanlah hidayah kepada kaumku sesungguhnya mereka tidak mengetahui akan kebenaran”

p/s: Neko dalam bahasa jepun bermaksud kucing...