Wednesday, March 3, 2010

Neko

 Neko

Aiman memerhatikan gelagat kucing kesayangan Kak Inanya yang baru kematian anak. Dijilat anaknya itu dengan penuh kasih sayang. Pandangannya yang sayu meruntunkan hati Aiman menjiwai apa yang dirasai oleh ibu kucing itu. Kolam matanya tidak lagi mampu untuk dibendung merembeskan titis-titis air jernih menjalari pipinya yang putih.

"meow... meow..." sungguh sayu bunyinya. Kelihatan beberapa ekor lagi kucing lain mengerumuni Neko yang sudah meninggalkan mereka tanpa diketahui puncanya. Semalam Neko begitu riang melompat cuba menangkap bola kecil. Badannya yang dipenuhi bulu yang cantik digesel-gesel manja dipipinya. Semenjak Kak Inanya bekerja di Kuala Lumpur, Neko menjadi akrab dengan dia kerana hanya dirinya  yang suka bergurau dan melayan telatah Neko.

"Mak... ada nampak Neko tak?". Ujarnya pada emak yang sedang menyediakan makan malam untuk mereka.

" Tak ada, kenapa? petang tadikan ada kat luar tu". Jawab emak sambil tangannya ligat memotong ulam timun kesukaan ayah.

Sudah puas dicari, segenap ceruk rumah digeledah tapi batang tubuh Neko tidak kelihatan. Kebiasaannya kucing itu akan kedapatan berhampiran reban ayam seramanya. Fikirannya buntu, dimana lagi dia perlu mencari Neko.

***

"Abang... mari makan ni!". lamunannya terhenti mendengar laungan dari emaknya. Perutnya mula menyanyikan lagu kelaparan setelah seharian tidak menjamah nasi. Pagi tadi hanya sekeping roti yang sempat dihadam kerana perutnya terasa seolah mual untuk menerima makanan. Tangannya cepat dibilas dengan air agar bersih dari kekotoran kerana jika tangan yang kotor akan membawa bersamanya kuman yang mengakibatkan penyakit. Sejak kecil lagi dia sudah diajar untuk melakukan sedemikian kerana ibunya berkata itu anjuran dari Nabi Muhammad sollallahu alaihi wa 'ala alihi wasohbihi wasallam.

Apa sahaja yang datang dari Rasulullah sollallahu alaihi wa 'ala alihi wasohbihi wasallam harus diamalkan kerana baginda sollallahu alaihi wa 'ala alihi wasohbihi wasallam datang mengajari apa yang baik untuk umatnya kerana ia adalah dari Allah subhanahu wata'ala yang menjadikan manusia. Allah subhanahu wata'ala tahu apa yang baik untuk makhlukNya kerana Dia yang menjadikan semua makhlukNya.

Sains hari ini telah banyak membongkar kebenaran dan kesesuaian apa yang diajar oleh Baginda sollallahu alaihi wa 'ala alihi wasohbihi wasallam walaupun baginda telah meninggalkan kita selama 1431 tahun.

"Aiman, bacakan doa makan!". Perintah ayahnya yang baru sahaja memperkemaskan silanya. Lancar sahaja dia tuturkan doa makan yang telah sebati dengan diri semenjak berumur empat tahun lagi dihafalnya. Nenek Mek yang ajarkannya dahulu.

***

Matanya bulat merenung skrin television yang menyajikan berita yang meruntun hatinya dan menaikkan amarahnya. Marcapada seolah telah  sirna nilai kemanusian. Anak yang tak berdosa dibuang tanpa belas kasihan. Tong sampah,longkang,loji air,tandas menjadi saksi kebinatangan manusia yang sudah melupakan pahala dan dosa. Melupakan destinasi abadi yang akan disoal apa yang dilakukan dan akan dilunasi segala hutang piutang dunia.

Berapa ramai pasangan yang sanggup menjalani pelbagai rawatan untuk mendapatkan zuriat penerus perjuangan. Dukun,pawang,doktor, ubat-ubatan,herba semua dilakukan untuk mendapatkan apa yang dihajati. Tapi binatang itu tidak pernah mensyukuri apa yang diberi. Melakukan perbuatan terkutuk tanpa sedikit terdetik kekesalan.

Nanar...

Otaknya bingung memikirkan generasi hari ini yang sudah jauh dari tuhan. Ingatannya pada neko kembali menerjah fikirannya. Kucing lebih menghargai nikmat dari manusia yang bertuhankan syaitan. Rasa kasih dan sayang wujud pada kucing tetapi manusia seolah-olah sudah kehilangannya.

 
“ Ya Allah Ya Tuhanku, berikanlah hidayah kepada kaumku sesungguhnya mereka tidak mengetahui akan kebenaran”

p/s: Neko dalam bahasa jepun bermaksud kucing...

No comments: