Friday, December 24, 2010

Aku, mereka dan dia

Aku bersimpuh. Tenang. Butir-butir percakapan beliau jelas.Satu persatu. Otak mula bekerja agar terpatri kejap. Menusuk kalbu. Sunyi dan penuh tumpuan. Hujan masih setia membasahi bumi. Suram. Melihat sekeliling.  Semua larut dalam syarahannya.

Dia masih berdiri. Melontar kalam-kalam hikmah. Pedoman buat semua. Sekejap pandangannya kekanan. kekiri. Hilai tawa bergema. Sesekali berjenaka. Tiba-tiba lantang ia menutur kalam Allah yang bermaksud.

Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib. Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat. Fussilat 34-35.

Aku dan mereka masih setia memetia. Masih dahaga akan pedoman. Terangguk-angguk membenarkan bicaranya. Berfikir tentang apa yang ingin disampaikannya.

Bukan senang untuk mengamalkannya. Sabar,sabar dan bersabar. Itu perkara yang perlu ada pada mereka. Orang yang ingin melaksanakannya. Ganjaran yang besar untuk mereka didunia dan akhirat. Aku tersenyum sendirian. Benar. Bersama orang berilmu banyak manfaatnya. Aku, semakin hari makin terasa. Kerugian. Lapangan ini mengajar segala-galanya. Ilmu perkara yang terpenting.

Dia terus setia. Mendidik kami. Aku ibarat cucu yang kebodohan  dalam lautan keilmuan seorang datuk.

Bayangkan, orang mencerca kita. Kita masih tersenyum. Orang memprovokasi. Senyum masih terukir tenang.
Apa saja yang datang dari perkara bernama kejahatan. Kita balasi dengan kebaikan. Senang dituturkan payah untuk diamalkan. Sabar itulah tunjang.

Bukankah kejahatan yang dibalas dengan kejahatan itu martabat keadilan. Benar, tetapi kejahatan yang dibalas dengan kebaikan itu martabatnya ialah kemuliaan. Awas jangan melampau kerana ia menjerumuskan kita ke martabat yang hina martabat kezaliman.

Akhirnya lawan menjadi kawan jika kejahatan sentiasa dibalasi dengan kebaikan. Musuh tiada dalam kamus kehidupan semuanya bertukar menjadi sahabat setia. Manisnya ajaran Islam.

Terimbau kenangan lalu. Kenangan di sana. Tika melewati satu lorong. Sahabatku melontarkan satu persoalan." Apa perkara yang tidak ditentukan ganjarannya?". Berfikir. Berbagai jawapan diberikan. Semuanya tidak bertepatan. Dalam senyum sahabatku merungkai persoalan memberi akan jawapan "Sabar". Terlintas difikiran akan satu firman tuhan. Terima kasih Sahabat(Guru) atas perkongsian ilmu.

Semoga diberi kekuatan untuk mengamalkannya.