Monday, March 9, 2009

Selamat Menyambut Maulidur Rasul

Hari ini adalah hari bersejarah kerana pada tarikh ini lahir seorang yang membawa rahmat kepada sekalian alam. Membawa khabar gembira bagi orang yang mengikuti apa yang dibawa dan peringatan bagi yang menentang. Menerangi alam setelah bertahun dalam kegelapan. Mempunyai sifat yang mulia, pendamai antara aus dan Khazraj. Penyambung risalah yang dibawa oleh nabi-nabi terdahulu. Amat menyayangi umat sehingga sebelum menghembus nafas yang terakhir masih risau akan umat. Pemberi syafaat pada hari akhirat. Akan memohon ampun apabila dosa umatnya dibentangkan. Sanggup menahan kesakitan akibat perbuatan umatnya.

. Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan Yang baik, Iaitu bagi orang Yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) ( Al-Ahzab:ayat 21)

Nabi Muhammad saw adalah role model yang sehingga kini masih belum ada yang mampu menandingi baik dari segi apapun. Setiap mutiara kata yang terbit adalah wahyu kerana apa yang dituturkan tidak berlandaskan hawa nafsu. Mukjizat yang kekal sehingga berlaku hari pembalasan iaitu kitab Al- quran yang menjadi petunjuk bagi membezakan yang baik dan buruk.

. (Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah. (Al-Baqarah:ayat 185)

Merenung kepada diri sendiri apakah nasib bagi orang yang menentang ajaran yang dibawa oleh Nabi Muhammad saw apalagi ada segelintir yang menyindir dan mengambarkan nabi dengan gambaran yang buruk. Amat malang bagi mereka kerana di akhirat nanti mereka amat membutuhkan syafaat dari nabi tapi di dunia menyindir nabi. Mana mungkin seorang yang mahu sesuatu dari seseorang tetapi mengherdik orang yang dia perlukan sesuatu darinya. moga Allah memberi hidayat kepada mereka.

Sama-sama kita menyingkap sejauh manakah kecintaan kita kepada nabi apakah sekadar di lidah sahaja kita menyebut cinta tetapi kecintaan itu tidak menampakkan kesan bahawa kita mencintai. Apabila kita menyintai seseorang sudah tentu kita akan selalu menyebutnya, mengikut jejak langkahnya dan selalu melakukan apa yang disukai. Sebab semua itu adalah syarat bagi sebuah cinta.

Mari kita mencontohi kecintaan para sahabat terhadap Nabi kerana mereka adalah sebaik-baik generasi yang dilahirkan.

No comments: