Monday, April 19, 2010

Aku Ingin Ketepian

Dahulu sewaktu aku ditepian, aku sering bingung memikirkan apa mereka perkatakan bahawa samudera punya musibah yang banyak memerlukan mental dan stamina yang kuat. Tawa sinisku sering terukir apabila ucapan mereka kudengari. Bukankah sungai telah kuharungi dengan jaya walau kadangkala angin ribut datang menujah. Hujan mencurah memaksa aku bekerja keras menceduk air yang hampir penuh diperut perahu. Sampah dan tunggul-tunggul kayu yang menganggu laluanku sering membuatkan sampanku tersekat-sekat tetapi akhirnya sampai ketempat tujuan.

Hari ini aku  berada di tengah samudera, merasai apa itu mabuk laut  akibat dipukul ombak, menjuihkan apa yang aku telan dipagi hari. Teringat pesanan agar minum air dikuala, terfikir kini ditengah lautan. Dimana mahu mencari kuala. Ingin terjun mandi laut seolah-olah kerja gila kerana pemangsa tidak kenal sesiapa mahupun diamana berada. Oren sunskist, keledek mentah, pisang kelat,sayur kankung, lada hitam atau halia bara tiada pula dalam simpanan. Hanya dayung buruk dan kain pelikat di peti simpanan.Selebu yang hadir menyebabkan sampan teroleng-oleng. Kakiku tidak lagi mampu untuk bertahan,acapkali tersungkur menyembah buritan. Puyu dan kelambu menghembus kencang menukar arah kemudi. Sesekali badai melambung tinggi mencium awam menganugerahkan sejuta permandangan, sedang asyik menikmati landskap alam disentap keras menjunam kedasar mencipta gemuruh menyedut takut. Drama itu tidak lama, dipentaskan pula ketenangan sambil angin berpuput lembut membentuk olak-olak kecil memacu layarku tenang ke destinasi.

Semalam telah kutinggalkan dalam kenangan. Hari ini aku semakin hampir ke destinasi. Pengalaman yang kubawa masih terlalu sedikit hingga takut untuk bertemu hari esok yang menjanjikan seribu satu persoalan yang perlu kujawab.  Ketenangan yang dirasai menyebabkan kegelisahan akan menghantui. Apakah aku mampu memberi secebis pertolongan di daratan yang halangan kian mencabar. Semilir angir, gumpalan ombak akan kutinggalkan. Lompak-lompak kecil,batu-batuan dan gunung akan menjadi teman pemusafiranku. Semua ini hanya akan terjadi jika aku tiba ditepian. Sukma ini sering berharap agar aku bisa melihat mentari muncul di puncak gunung bukan lagi dihujung simpulan ombak. Memetia sekawan burung terbang  hinggap di bendang padi tidak lagi memandang  ikan berloncatan diperut laut.

Aku mahu ketepian, merasai hembusan bayu bukit, melihat pokok bercumbuan membentuk gerakan alam, menyediakan juadah ketenangan yang aku makan hingga kekenyangan

No comments: