Thursday, July 15, 2010

Cerita dalam cerita

Cerita 1

Ketika Pak Leman sedang tekun melihat pokok limau yang sudah mula menguning sambil tangannya membuang daun yang dimakan ulat, tiba-tiba dia terdengar deruman enjin kuat dihujung dusun. Dia bergegas kesana. Alangkah terkejutnya beliau melihat buldozer sedang meratah pohon limau miliknya. Dengan segala kudrat yang ada, Pak Leman cuba untuk menahan buldozer dari terus memusnahkan tanaman.  Muncul beberapa orang lengkap bersenjatakan cota memukulnya sambil muncung senapang dihalakan ke kepala. Hanya titisan air mata mengiringi kehancuran dusun kerana dia tidak mampu untuk berbuat apa-apa setelah digari dan dipukul teruk oleh "PENGGANAS".

***




Cerita Dua.

Mak Joyah selesai menyediakan hidangan tengahari. Setelah selesai doa dibacakan oleh Aiman anak tunggal kesayangannya, deruman enjin jentolak bergema kuat seolah-olah berada hampir dengan rumahnya. Terpancul askar lengkap bersenjata menyuruh beliau dan anaknya keluar.

"Apa semua ini?".

"Rumah kamu harus dirobohkan kerana termasuk dalam rancangan pembinaan penempatan baru".

"Dimana buktinya?". Dikeraskan sedikit suaranya.

Pumm...

Terjelepok Mak Joyah dihentak dengan cota. Darah merah mula mengalir laju. Diseka dengan kain tudungnya. Dengan kudrat yang tersisa dia bangun sambil cuba untuk menghalang jentolak dari terus meroboh kediamannya. Kudrat seorang tua tidak mampu untuk melawan dengan lima orang tentera yang lengkap dengan senjata.

Kanak-kanak itu meluru laju kearah Mak Joyah. Gelak tawa berderai sambil kakinya menendang perut Mak Joyah. Dunia semakin kabur, berpinar dan gelap.

***





Cerita 3

Pong, pong pong...

Hassan segera merebahkan diri diperut perahunya. Hujan peluru tiba-tiba menujahnya. Hanya doa dan al-Quran menjadi perisai.  Keadaan sepi seketika. Nafas kini mula stabil. Kepala dijengukkan sambil berharap tiada marabahaya akan muncul.

Matanya dibesarkan untuk melihat dengan jelas kelibat yang sedang menjauhi dengan bot itu. Tertera tulisan yang sudah dijangka. Dimana lagi dia mahu mencari rezeki jika bukan dilaut ini. Setelah disempadankan kawasan untuk menangkap ikan, hari ini mereka mula bertindak ganas memuntahi peluru.

Dipandang tong ikan yang masih kosong.  Muncung perahu kini bertukar arah. Kayuhan bertukar sekejap kanan sekejap kiri. Itu semua untuk mengimbangi arah perahu bergerak agar tepat menuju ke destinasi. Sayup kejauhan pelabuhan Gaza yang sepi. Sepatutnya pada bulan Mei yang lalu pelabuhan itu akan menerima kapal yang pertama tetapi tidak berlaku kerana kebinatangan israel.





Ini adalah antara babak yang berlaku dalam kehidupan seharian penduduk di penjara terbesar Gaza. israel sering melakukan kezaliman kepada penduduk Gaza. Semoga kita terus berusaha walau dengan sepotong doa agar Gaza dan Palestin kembali merdeka. 



Semoga kita tidak melupakan mereka.



p/s: Bagaimana dengan kapal Libya yang sedang menuju ke Gaza ?..Semoga dipermudahkan dan selamat..

No comments: