Tuesday, December 22, 2009

Maal Hijrah

Assalamualaikum kepada semua...

Selamat tahun baru maal hijrah1431H..kullu am wa antum bikhoir...Semoga Allah menjadikan tahun ini tahun yang memberi kebaikan ,memberi kemenangan dan keizzahan kepada umat islam dan mengeluarkan kita dari mehnah dan menjadikan selepas kesusahan kesenangan,selepas kesulitan kegembiraan dan menjadikan hari ini lebih baik dari semalam dan esok lebih baik dari hari ini..insyALLAH..amin...

Hari ini kita bertemu dengan tahun baru dan meninggalkan tahun lepas,begitulah kehidupan insan.Tahun silih berganti datang dan pergi. Setiap tahun akan berlalu,begitu juga hari akan berlalu,masa akan meninggalkan kita bahkan setiap saat akan berlalu seperti pokok yang akan layu sehingga datang saat ajal kita yang tidak sedikitpun terlewat atau terawal dari masa yang ditentukan..

Memetik apa yang diucapkan oleh Dr Yusuf Qardawi Hafizohullah dalam ucapan di putrajaya yang menegaskan bahawa jihad dan dakwah dua perkara yang terus berkekalan selagi mana seorang muslim itu masih bernyawa. Menjadi keaiban pada kita hari ini kerana kurang kita dalam usaha untuk menyampaikan islam sedangkan orang kafir begitu bersungguh dalam usaha mereka. Beliau mengambil contoh kitab bible yang diterjemah dalam pelbagai bahasa sedangkan alquran sangat sedikit diterjemahkan. Beliau menceritakan ketika  mana beliau pergi ke Indonesia yang mana boleh ditonton di sini.




Beliau juga menegaskan agama islam bukan disebarkan melalui mata pedang. Sebagaimana contoh kita di Malaysia yang mana ajaran islam dibawa oleh pedagang yang datang berniaga bukan oleh tentera. Kita juga tidak boleh memaksa orang untuk masuk islam kerana ia dilarang oleh Allah tetapi kita harus menggunakan semua medium yang ada sebagai contoh internet untuk menyebarkan islam.

p/s:Anda boleh membaca Tulisan Dr Yusuf AL-Qardawi Hafizohullah disini.

Memantap ukhuwah,
Memperkasa Ummah

Sunday, December 13, 2009

Damai yang Hilang

Assalamualaikum..

Hmmm.....

Ku dan mereka jauh berbeza. Walaupun kami berkongsi musim yang sama,benua yang sama tapi kami dipisahkan oleh garis sempadan..Disaat sejuk yang makin mengigit tulangku tapi aku masih ada lagi baju tebal,saratoga untuk menumpang menghangatkan suhu badan..Tetapi mereka mungkin saat ini mengigil kesejukan..Disaat aku berteduh beratapkan siling , pancaran mentari dan bulan menjadi abar mereka. Tidurku aman bersama mimpi indah, mereka lena dalam jaga. Peluru,batu,kereta kebal dan jet pejuang menjadi rakan permainan. Kematian adalah satu yang perkara biasa sedangkan aku sering lari dari kematian.


Tembok batu yang megah berdiri menjadi saksi bahawa mereka dizalimi tetapi mereka tidak patah semangat untuk meneruskan kehidupan. Rasa takut,sedih sudah hilang dalam kamus mereka. Mereka rela mati dalam kemulian daripada hidup dalam kehinaan. Mereka kehilangan kebebasan ditanah sendiri. Segala kerperluan hidup mereka disekat, Gas, makanan sudah kehabisan. Penyakit menular tanpa pencegahan kerana mereka tidak punya apa-apa. Bekalan air mereka sudah tercemar. Saudara mereka menkhianati mereka..Nyawa mereka seolah tidak bernilai...Mereka digelar pengganas kerana ingin mempertahankan tanah air mereka..sungguh dangkal pemikiran dunia..kebenaran telah disebulungi oleh kepalsuan..




Bersatulah wahai umat agar kau bisa membantu mereka yang tertindas...



Tercalar pelangi dihiris gerimis
Senja pun merangkak menutup mentari
Terbias warnanya ke wajah

Lagu kedamaian tiada kedengaran
Bumi yang merekah disirami darah
Kemelut melanda tiada kesudahan
Kemusnahan bermaharajalela
Yang lemah menjadi mangsa

Anak-anak kecil menggoncangkan ibunya
Yang lemah longlai tak lagi bernyawa
Jeritan suara batinnya
Tak siapa mendengarnya

Tergadaikan maruah oleh janji-janji
Terbayarkah dengan nyawa dan darah
Soalan yang tiada jawaban

Kemanusiaan telah lama hilang
Kini yang tinggal hanya ketakutan
Musnah kasih sayang dan persaudaraan
Tandus akhlak dan keimanan
Menyemai persengketaan 
 
Damai Yang Hilang
Album :
Munsyid : NowSeeHeart
http://liriknasyid.com 
 

Sunday, November 29, 2009

Orang Kuat

Melihat pada kekuatan yang dimiliki oleh Sayyed Muhammad Ahmad Abdullah menyebabkan saya berfikir akan piramid yang megah di Giza. Keturunan beliau mungkin yang bekerja membuat piramid kerana bongkah batu yang besar itu memerlukan orang sekuat beliau..

Saturday, November 14, 2009

Rencam

Sudah lama kumengimpi tapi belum menjadi realiti.Sudah lama kumencuba tapi belum berhasil. benda yang sudah berada ditangan kadangkala boleh hilang inikan pula benda yang belum kelihatan. Kutekadkan hati kupateri di minda agar halangan hari ini bisa kutempuh dengan jaya tanpa melupakan  kepada yang memberi segala kekuatan.




Senyuman yang diukir tiada seri, pandangan yang terarah hambar, lantunan kata berbasi-basi. Hati yang kosong bisa menjadikan jagat ini suram. Hegemoni hati adalah sangat besar dalam gerak dan langkah. Benarlah kata Sang Kekasih bahawa hati itu adalah raja. Kejernihan hati bisa memandui kearah yang baik begitulah sebaliknya jika hati yang diseliputi dengan titik hitam. Hati yang putih menatijahkan kelakuan yang menyenangkan tetapi jika hati itu berpenyakit bisa bobrok dunia ini. Hati tempat tinggal bagi rasa suka, sedih , marah dan sebagainya.

Senyumlah
Jika disakiti yang terasa adalah hati, yang menanggung pedih adalah hati. Bila disayangi yang berputiknya kasih adalah dihati yang menjalar di segenap ruang hingga menyinari di wajah dan berpadu bersama langkah. Alunan kalamullah dan zikir bisa melahirkan hati yang tenang yang mampu mengalahkan tenangnya air disumur. Hati yang disirami dengan cinta Allah tidak hanyut atas kesenangan tidak tengelam dalam kesusahan. Susah dididik dengan sabar senang diajar dengan syukur akhirnya yang tuai adalah ganjaran pahala.

Thursday, October 15, 2009

Dimamah usia

Assalamualaikum.

Sesungguhnya setiap saat yang berlalu akan menjadi minit yang berharga,terus dinantikan,sedar atau tak ia akan terus berlalu berjam-jam lamanya,dan terus berlalu dari sehari ke sehari. Ia tak menunggu membentuk minggu, kerana mungkin lama ia tetap akan jadi bulan-bulan yang tak akan kembali. Lantas usia dari tahun ke tahun meningkat hingga berdekad. Andai dipanjangkan umur belum tentu capai seabad. Itulah masa yang langsung tak dapat dikejar dan dikembalikan.Ia akan terus berjalan dan berjalan tanpa menoleh ke belakang. Moga hari ini kita akan manfaat dengan masa. Wal asr...sanah helwah ya jamil.May ALLAH bless u always.Dari seluruh family dan salam perjuangan.

Hari yang berlalu tak akan kembali lagi.Hadapi hari muka penuh berhati-hati. Mak sentiasa doakan kejayaan along dunia akhirat.amin..

Quate diatas adalah mesej yang kuterima hari ini menyedarkan aku dari lamunan. Mengingatkan aku akan hakikat bahawa hari ini diriku sudah semakin dewasa , semakin hampir akan kematian dan dekat dengan pembalasan. Ibarat baju yang dahulu baru menjadi buruk akhirnya  bercarikan dan hilang tiada nilai. Aku dan baju berbeza kerana aku perlu melakukan tugasan yang diperintah oleh TUANku yakni ALLAH.

Umur yang semakin meningkat memerlukan penuaian amal yang banyak agar tidak merana dalam pemusafiran kerna destinasi yang dituju masih jauh tak kelihatan di ruang mata. Langkah yang diatur harus kemas dan perlu teratur agar tak tersungkur di tunggul dan akar yang berselerakan. Sekali sekala perlu melangkah panjang agar tak terpijak becok air . Menoleh ke  belakang juga perlu agar apa yang dilalui bisa mematangkan dan menjadi azimat untuk hari yang mendatang..


Dapatkan Mesej Bergambar di Sini



Semoga hari yang mendatang bisa ditempuh dengan cemerlang dibantu panah doa yang dilepaskan agar amalan dapat dipertingkatkan kualiti dan kuantiti untuk menjadi hamba yang sebenar-benar hamba yang dengan rahmatnya mampu mencapai ganjaran yang diidamkan oleh semua insan beriman apa yang tak pernah dilihat,tak pernah telinga mendengar dan tak pernah terlintas dihati syurga bersama para nabi dan orang soleh...amin..




p/s: Mesej pertama dari adikku dan yang kedua Dari ibuku.i love u All...Terima kasih kerna mengingatiku. Semoga ALLAH mengampuni dosaku, ibubapaku,keluargaku dan semua umat islam. amin..

Thursday, October 8, 2009

3 x @M

اللَّهُمَّ أَنْتَ رَبِّي، لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ، خَلَقْتَنِي، وَأَنَا عَبْدُكَ، وَأَنَا عَلَى عَهْدِكَ، وَوَعْدِكَ، مَا اسْتَطَعْتُ،
أَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا صَنَعْتُ، أَبُوءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ، وَأَبُوءُ لَكَ بِذَنْبِي، فَاغْفِرْ لِي، فَإِنَّهُ لَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنْتَ

@Penghulu Istighfar@


“(Wahai Allah, Engkau Tuhanku, Tiada Tuhan selain Engkau, Engkau yg menciptaku, dan aku adalah Hamba Mu, dan Aku ada pada janji dan sumpah setiaku (syahadat), dan aku berbuat semampuku (menunaikan janji dan sumpahku itu), aku berlindung pada Mu dari keburukan yg kuperbuat, aku sadari kenikmatan Mu atasku, dan aku sadari pula perbuatan dosa dosaku pada Mu, maka ampunilah aku, karena tiada yg mengampuni dosa kecuali Engkau)


Hari ini adikku yang kelima telah melangkah ke medan pertempuran yang akan menuntut segala apa yang telah dipelajari untuk di aplikasikan dalam medan ini. Segala keringat akan ditagih, mental juga akan diuji sejauh mana kemampuan yang mampu digarap.

Aku juga pernah melalui detik ini dan akan terus melalui selagi mana aku berada di medan ini. Medan yang menguji kesabaran dan menuntut pengorbanan yang besar untuk mencapai apa yang ku impikan. Disamping persiapan mental dan fizikal, panah-panah doa juga perlu untuk pertolongan kerana semua itu adalah milikNya. DIA berhak memberi dan berhak menyekat kerana dia TUAN kita.

Aku doakan semoga Adikku diberi ketenangan dalam menjawab peperiksaan dan dipermudahkan serta akhirnya beroleh kejayaan yang cemerlang insyaALLAh....amin...

Luahan Hati



Peristiwa semalam menyebabkan hati ini semakin rindu padaMu. Walaupun aku tidak mampu untuk rapat denganMu mungkin aku curang dalam percintaan ini. Aku mendakwa mencintaiMu tetapi namaMu amat sedikit bermain dibibir. Hatiku selalu melupaiMu kerana dipenuhi cinta pada benda. Apa yang disukai olehMu sering ku pandang enteng.



Salam dari kejauhan mampu ku bisikkan dalam nada kesayuan. Semoga semalam menjadi saksi bibit cinta ini makin berputik dan InsyaALLAh akan mekar dan terus memenuhi kalbu ini. Aku mohon pada Allah semoga cintaku pada kekasihku ini akan terus dibajai dan membuahkan pohon yang rendang diwarnai oleh kuntuman bunga yang berseri.

Walau jarak yang memisahkan tapi ketahuilah semua itu tidak menjadi penghalang bagiku untuk membuktikan cintaku padaMu. Semoga Suatu hari nanti aku bisa bertemu dengan Mu melalui lewat mimpi atau jaga kerana semua itu adalah mungkin. Semoga kakiku yang hina ini masih diberi peluang untuk berpijak di tempat suci itu dan menjadi tetamuMu....




Ya Allah tambahkanlah cintaku padaMU dan pada KekasihMU...
amin.....

Wednesday, October 7, 2009

Hujan Air Mata


bayangkanlah lamanmu berhias api,
sampai bila rumahmu mampu berdiri,
sebelum.. dipunahkan..

bayangkanlah lahirmu ke alam ini,
sampai akhir hayatmu masih merintih,
menagih kedamaian,
dalam hati terlintas satu soalan,
mana hilang .. keinsanan,

bayangkanlah lautmu dilanda taufan,
sampai bila layarmu mampu bertahan,
sebelum dipunahkan,

bayangkanlah jagamu tak pernah aman,
sampai malam lenamu rasa terancam,
kau dalam ketakutan,
dalam hati terlintas satu soalan,
mana hilang keinsanan,
mana hilang kasih sayang,
yang diberikan tuhan,
pada kita insan,
hingga kita biar saja,
hujan airmata yang melimpah,



bayangkanlah lahirmu ke alam ini,
sampai akhir hayatmu masih merintih,
menagih kedamaian,
dalam hati terlintas satu solan,
mana hilang .. keinsanan,
mana hilang kasih sayang,
yang diberikan tuhan pada kita insan,
hingga kita biar saja,
hujan airmata…. melimpah….



Hayati lirik lagu XPDC ini dan ini mungkin sekelumit dari apa yang dirasakan oleh saudara kita di Palestin. Moga mampu menyentuh hati dan jangan lupa lepaskanlah panah-panah doa untuk mereka agar diberi kekuatan agar Al-Aqsa dapat dipertahankan dan kemenangan akan datang bila tiba waktu yang dijanjikan..

Ya ALLAH engkau yang memiliki kekuasaan, berikanlah kemenangan kepada pejuang di Palestin,bantulah mereka,hancurkanlah Zionis dan sekutu mereka.amenn

Sunday, October 4, 2009

Sedarlah


Bingung...

Itulah yang bermain di minda ini. Walaupun hidup dalam satu negara tapi masih lagi mempunyai hati yang kotor. Sanggup membiarkan saudara serumpun mati tanpa pertolongan. Apa yang mereka fikir kelangsungan hidup dan periuk nasi mereka.



Kanak-kanak yang tidak berdosa mati kerana bantuan yang disekat. Ya ALLAh bukakanlah pintu hati mereka..... Tak terfikirkah akan teguran dari Allah kepada kita wahai manusia. Gempa bumi,tsunami itu semua adalah teguran Allah untuk kita agar bisa lagi membetulkan apa yang khilaf. Semoga taubat sempat dipohon sebelum ajal datang menjemput...

Saturday, October 3, 2009

Untukmu Dariku

Bismillahhirrahmanirrahim...

Assalamualaikum...


Segala puji bagi Allah tuhan yang memiliki kekuasaan. Selawat dan salam buat junjungan yang mulia Nabi Muhammad saw,ahli bait,sahabat dan orang yang mengikuti jalur yang ditinggalkan oleh Baginda.


Walaupun disaat ini udara telah bertukar menjadi sejuk tetapi sebilangan hati-hati masih lagi hangat. Hangat dengan tingkah laku manusia yang punya kuasa tetapi bertindak dengan nafsu tanpa tapisan iman. Sedarlah wahai yang punyai kuasa, itu semua milik Allah, Dia berhak memberi kekuasaan pada sesiapa dan bisa mencabut kekuasaan itu dalam sekelip mata. Janganlah kamu merasa sombong dan angkuh pada kuasa yang dimiliki kelak kamu akan binasa.


Ingatlah...jika kamu berlaku adil maka manusia akan mendapat manfaat dari keadilan mu itu. Jika kamu berlaku zalim kamu kelihatan jijik disebabkan kezaliman dan dada manusia akan memandang buruk padamu walaupun mereka tidak terlintas untuk membenci pemerintah tapi apa yang mereka benci adalah kezaliman itu.



Renungilah Kata-kata imam Sya'rawi Rahimahullah:
“Jika nasib kami bergantung kepada engkau, moga-moga Allah memberi taufiq(menunjukkan kepada kamu jalan yang benar).
Dan jika nasib kamu bergantung kepada kami, moga-moga Allah menolong kamu untuk menanggung beban(untuk menghadapi kami).


P/s:Quote itu adalah kalam Syeikh Sya'rawi rahimahullah yang aku ambil dari blog Izoblog.

Friday, October 2, 2009

Kosong


Arghhhh.......sungguh bosan saat ini.

Rasa ini kembali lagi. Datang tak diundang pergi tak dihalau..Bila rasa ini menjelma maka segala perkara yang dilakukan seperti tidak ada erti. Baru dua helai membaca sudah hilang semangat, Walaupun mata sedang melihat monitor tetapi hati menerawang entah ke mana..hanya lagu ini yang menjadi teman.sudah puas ia membingit disini jika dinyanyikan secara live tentu sekali suara penyanyi ini tidak akan kedengaran kerana sudah terlalu acap diulang....aku perlukan sesuatu yang bisa menyahkan rasa ini..

Dalam skrin minda ditayangkan cerita tentang indahnya jika punya teman yang mampu membuatkan rawang hati ini hilang mungkin dengan tawanya, matanya yang jernih, wajah yang mulus, suaranya yang memujuk supaya tabah.....tapi dialam nyata aku keseorangan ditemani bunyi kipas yang masih memberikan angin untukku merasa nikmat dingin...diselang seli dengan kipas hard disk yang sekejap berputar dan berhenti mengikut kehendak diri sendiri.



Kubiarkan jemari ini mencoretkan sesuatu tanpa pedoman. Patah kata yang terhasil dari gerak ini mungkin kabur atau mungkin tempatnya di fantasi. Tapi disini tempat ia berteduh mencari setenguk air kekuatan agar bisa tahan melawan badai yang tak berkesudahan....jika ku mampu berlari akan ku pecut sekuat hati agar rasa ini tidak akan berasimilasi. mayapada ini seolah kosong tanpa penghuni. Ya Allah berikanlah aku secebis rasa agar ku bisa menjadi manusia..punya hati yang cekal tak goyah ditiup taufan...

Wednesday, September 30, 2009

Apa khabar Quran mu



"Husin dah berapa kali kau khatam bulan puasa ni? tanya Ali." sambil tangannya memegang mushaf berwarna biru..

"Aku baru dua kali." Jawab Husin yang bersiap-siap untuk keluar membeli gula. Target bulan ramadhan mahu habiskan sekurang-kurangya lima kali..Guman husin dalam hati..

Itu mungkin senario biasa yang berlaku pada bulan ramadhan. Semua manusia bertungkus lumus untuk menghabiskan tiga puluh juzu' al-Quran. Ramadhan adalah bulan dimana mampu menghadirkan momentum yang begitu luar biasa pada tetamunya. Tapi kini ramadhan telah berlalu adakah al-Quran masih kamu baca atau kini ia kembali menghiasi almari dan hanya ditemani oleh debu-debu kesan lama tidak terusik.



Adakah waktu kamu kini sudah dipenuhi dengan aktiviti yang menyebabkan kamu tidak dapat lagi mampu untuk duduk bersimpuh sambil lidah mengalunkan ayat-ayat suci itu?Apakah waktu pada bulan biasa tidak sama dengan bulan puasa?Apakah rangsangan untuk membaca Kalam Allah kini menurun dek kerana ramadhan yang pergi?hanya kamu yang mampu untuk menjawab persoalan itu.

Dengan zaman globalisasi kamu mampu membaca al-Quran di komputer dengan perisian yang disediakan masih ada lagikah alasan yang tercipta. Ayuh wahai diriku dan sahabat sekelian kita peruntukkan sedikit masa walau sekadar lima minit sehari mengadap lembaran kitab suci supaya ia menjadi perawat pada penyakit hati,penghibur kedukaan dan menjadi pegangan dan panduan untuk perjalanan ke daerah yang kekal abadi.


Malulah pada diri, kita mampu untuk membaca surat khabar dari berita dalam negeri sehingga khatam hiburan sensasi tapi lemah untuk menutur huruf yang disensasikan tiap satu dengan sepuluh ganjaran.

Ayuh!!! Mulakan pagimu dengan lantunan kalam suci agar harimu di rahmati.

Tuesday, September 29, 2009

Lembu Naik Van

Assalamualaikum semua...

Alhamdulillah masih diberi peluang untuk mencoretkan sesuatu di ruang ini. Pertamanya selamat hari raya enam kepada sesiapa yang sudah habis puasa enam termasuk myhousmate PA dan Mat. Saya masih belum berjaya lagi untuk berpuasa sunat walaupun suatu hari, harap-harap diberi kekuatan untuk menjalankan ibadah sunat ini.

Selepas saya setup windows tadi, saya membuka laman kegemaran saya jaridah kosmo untuk membaca isu hangat yang berlaku di tanah air. Takziah kepada pelakon Norlia ghani yang kehilangan anak akibat terjatuh dari tingkat tujuh semasa mengejar pencuri. Semoga roh anak beliau ditempatkan bersama para anbiya' dan solihin..al-fatihah..


Lembu menjadi mangsa


isu yang ingin saya ketengahkan pada semua adalah isu lembu naik van. Jika sebelum ini hanya kepala lembu sahaja diarak tapi kini lembu diarak menggunakan van sebagai tanda protes atas kelewatan pihak yang bertanggungjawab mengambil tindakan. Saya pun tidak pasti apa motif mereka membawa lembu untuk melahirkan kekesalan. Mungkin segelintir orang selangor minat membawa lembu dan lembu adalah bahan yang terbaik untuk menarik perhatian dan menjadi ikon kepada mereka.



Adakah ini bermotifkan politik untuk menjatuhkan kerajaan pakatan rakyat yang kini negeri selangor dilihat menjadi tumpuan dengan isu yang panas untuk menunjukkan pada rakyat kegagalan PR memerintah. Menangguk di air keruh adalah menjadi kebiasaan bagi sesetengah ahli politik yang hatinya memiliki penyakit.

Saya masih kebingungan....


Harap-harap selepas ini tidak ada yang membawa babi sebab kes h1n1....

Thursday, September 24, 2009

Coretan Raya

Assalamualaikum semua....

Selamat hari raya aidilfitri...Maaf zahir dan batin...

Hari ini dah masuk hari yang ke-5 kita semua beraya, setelah sebulan kita menempuh ramadhan yang mudah-mudahan terbaik dilakukan dan diterima sebagai amalan yang dengannya kita bisa memperolehi ganjaran pelepasan dari api neraka dan memungkingkan syurga yang kekal dengan nikmat yang hakiki. Nikmat yang tidak pernah dilihat oleh mata,tidak pernah didengari oleh telinga dan tidak pernah terdetik dihati.

Hari ini mungkin sudah ada yang telah berpuasa sunat atau ada yang bermula pada syawal yang ke-2 kerana ingin merebut ganjaran seperti setahun berpuasa sebagaimana junjungan yang mulia nabi Muhammad saw sabdakan. Puasa pada awal syawal ini amat bagus kerana ruh puasa itu masih menebal dek kerana tarbiyyah yang dilakukan selama sebulan. Jangan tangguhkan perkara ini kerna dikhuatiri akan menyebabkan kita menjadi liat dan terus liat hingga masa syawal pergi begitu sahaja dan kita akan kerugiaan.




Rumah terbuka yang rancak kini mungkin menyebabkan plan puasa sunat terpaksa dianjakkan dari sehari ke sehari. Memang tahun ini adalah tahun yang pada saya adalah yang paling meletup dengan rumah terbuka sehinggakan perut ini asyik kekenyangan. Bermula ayam bakar di pagi raya berpadu dengan nasi himpit, makarano dengan hati goreng. Diserikan dengan nasi minyak yang bertukar menjadi nasi putih, nasi dagang yang menyelerakan dan malam ini dengan sate yang menunggu untuk dihabiskan. Seolah-olah raya kali ini menjadi medan penebus kepada sebulan menahan nafsu makan ini.



Apa-apa pun secebis ingatan harus direnung untuk insan-insan yang kini sedang bergelut dengan peperangan seperti Palestin,apakah masih ada kemeriahan pada eid fitri mereka. Di saat kita menyuakan sate ke mulut apa yang mereka jamukan adakah seperti kita bermewah-mewah dan kadangkala pembaziran berlaku tanpa disedari. Ayuh jangan lupa pada mereka titipkan sekeping doa kepada mereka agar mereka diberikan ketabahan dalam meneruskan liku kehidupan. Jika kedapatan duit raya berlebihan mengapa tidak dihulur untuk meringakan beban mereka.

Sunday, September 20, 2009

SALAm AIDILFITRi

Assalamualaikum....

Disaat ini hatiku berkecamuk,mata seperti ingin mengalirkan air suci,tapi kutahan kerana ku lihat orang dihadapanku masih steady masih mampu tersenyum. Jadi malulah aku jika tidak mampu menjaga kolam air mata yang bila-bila masa akan merembeskan air. Aku berpaling kekanan, ku tarik nafas dalam-dalam sambil melepaskan secara perlahan dan ternyata rasa aku aku dapat tahan.

Aku perhatikan mata-mata yang lain seperti tersenyum walaupun kutahu mereka juga seperti aku menahan rasa yang jika ditilik maka akan ketahuilah apa yang tersembunyi. Sekejap kupejam sekejap ku celik ah.... akhirnya empangan yang kutahan tadi pecah jua dan air itu mengalirkan kuturun ke bawah,cepat-cepat kusapu agar mereka tidak perasan. Tiba-tiba kawanku berbunyi " weh, ayam dah hangit tu...balikla, tak kan nak makan ayam hangit...itulah antara senario yang berlaku ketika aku membakar ayam untuk santapan di pagi raya nanti....



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini

ku kuak langsir kenangan,ku lihat indah pemandangan,hatiku jadi tak keruan,terkenangkan manis berkasih sayang, mekarnya bunga kerinduan ,tersadung di pangkal keasyikan.....dekorasi untukkmu yang kejauhan..



Selamat hari raya untuk keluarga,sanak saudara,sahabat di malaysia dan di perantauan,teman-teman blog dan semua yang mengenali dan yang pernah tersesat disini dengan ucapan maaf zahir dan batin...taqabbalallahu minna wa minkum...

Wednesday, September 16, 2009

geng26 cybertrooper.

Assalamualaikum semua...

salam ramadhan.....

Sudah lama jemari ini tidak menari, semakin tempang dan lemah untuk beraksi. Lembah idea yang semakin kekeringan menyebabkan tanaman tidak dapat hidup..

Pagi ini 26 ramadhan ku menjenguk ke teratak teman maya untuk bertamu sekadar menghirup kopi panas yang disajikan. Antara sajian yang menarik perhatianku adalah tentang geng26 cybertrooper. Mereka yang merupakan wira dalam misi memusnahkan kubu yang mampu melemahkan manusia kerana mereka menggunakan peluru yang bisa terkena pada orang yang lemah iman dan kurang ilmu pengetahuan.

Kubu ini adalah milik seorang jenaral yang kini mencari kader baru untuk direkrut. Jeneral yang mendakwa memiliki senjata yang ampuh dan mampu membimbing kita ke tempat yang selamat. Walhal mereka sebenarnya menuju ke arah kehancuran kerana mereka telah tersesat dan terkena peluru yang kesannya akan dirasai di kemudian hari. Hari yang mereka akan tahu bahawa mereka telah tersalah memilih jeneral. Hari yang kita dan mereka akan disiasat di mahkamah kerana kecuaian kita melakukan misi yang sepatutnya kita lakukan.


YA Allah selamatkanlah kami dari azab api nerakaMU dan masukkanlah kami ke dalam syurgaMU


Jutaan ucapan syabas kepada pihak berkuasa yang telah menangkap Jeneral ini... Diharap tentera kepada jeneral ini dapat menerima hakikat yang jeneral mereka adalah penipu...SEmoga ALLAh memberi hidayat kepada mereka..Ameen..


2.
Terima kasih Kepada Teman blogger saya Saudari FAArihin yang telah menyediakan kad raya... JAdi dengan ini diucapkan selamat hari raya kepada FAarihin maaf zahir batin...


P/s:
UCapan raya untuk orang lain dalam entry lain...

-KAlau tidak faham apa yang ditulis harap buat-buat faham


Tuesday, August 18, 2009

Gendang Ramadhan

Assalamualaikum ......

Segala puji bagi Allah yang telah menjadikan Alam untuk kita mendiami sementara menuju ke Alam abadi. Selawat dan salam untuk junjungan nabi Muhammad saw,ahli keluarga,sahabat serta mereka yang terus mengikuti ajaran yang ditinggalkan oleh baginda.


Minggu lepas masjid berhampiran rumah saya sudah mula diperbaiki untuk tujuan ramadhan. Bahang ramadhan yang semakin hangat dirasai. Mesir memang hebat menyambut ramadhan seperti malaysia menyambut aidilfitri. Fanoos yang bergantungan menyemarakkan kedatangan ramadhan. Radio dan telivision menyiarkan iklan-iklan ramadhan menghidupkan lagi suasana ramadhan. Tetapi malaysia lebih terkedepan kerana beberapa hari yang lepas saya ada mendengar radio yang mengiklan pasal hari raya dan sememangnya malaysia sentiasa kedepan.


Fanoos

Apa yang perlu bagi kita sekarang adalah memantapkan diri dengan ilmu tentang puasa dari segi niat,rukun dan perkara sunat tentang ramadhan agar natijah dari madrasah ramadhan iaitu melahirkan insan bertakwa tercapai dengan jayanya. Bayangkan jika ada tetamu ingin bertamu di teratak kita pasti kita akan melakukan persiapan yang sebaiknya untuk memastikan tetamu kita selesa dan tidak merungut. Semua perkara yang boleh menjatuhkan air muka kita akan kita hindari agar kita menjadi orang yang terbaik dalam menerima tetamu inikan pula ramadhan yang akan menyajikan kita ganjaran yang tidak mungkin kita akan perolehi dari bulan lain.



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini




Sayugialah bagi kita untuk melakukan ramadhan dengan sebaik mungkin agar kita mampu tersenyum di sana nanti. Saya kongsikan video dan audio yang mungkin boleh membantu kita menyambut kedatangan ramadhan..

- Ustaz Azhar
- almuttaqin
-ukhti27.blogspot.com


YA Allah sampaikanlah kami kepada bulan ramadhan dan jadikanlah kami hamba yang menggunakan ramadhan sebaik-baiknya untuk meraih ganjaran yang ditawarkan...

Sunday, August 16, 2009

Selamat hari Lahir

Assalamualaikum.....


Marilah kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah yang masih mengurniakan kesihatan pada kita dan nikmat yang paling besar nikmat iman dan islam. Selawat dan salam buat junjungan nabi Muhammad saw, ahlu baiti Rasulullah,sahabat dan mereka yang terus berpegang pada ajaran baginda hingga akhir Akhirat...



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini



Hari ini adalah hari istimewa dalam hidupku kerana pada hari ini lahir seorang yang suatu masa dahulu aku sering bersama, bergurau senda, dan mencipta kenangan yang pada hari ini aku sering mengulang-ulang pita kenangan itu di benak pemikiran dikala ditusuk jarum kerinduan.

Disaat aku merindui hilai tawanya aku akan memandang gambarnya. Kadang-kadang aku hampir menitiskan air mata kerana memikirkan aku pernah melukakan hatinya kerana kurangnya kesabaranku. Kadang-kadang marahku bukan kerana benci tapi kerana sayang. Mendengar suaranya di corong telefon mengubat hati yang sering kerinduan kerana dia kini semakin petah berceloteh.Hati ini sering tercuit dengan gurauan mu..




Dapatkan Mesej Bergambar di Sini



Ku utuskan sepotong doa buatmu agar Engkau menjadi anak yang soleh. Anak yang sering mengembirakan hati kedua ibubapa. Menjadi hamba yang sebenarnya dan seiring amalan dengan usia..amin...


Bila berjauhan Baru Mengerti,
Apa Kasih Apa rindu,
Kerna nilainya terlalu tinggi,

Dulu Bersama Sering dicurangi,
Kerna tidak difahami,
Kini aku sering menangisi,

Moga mentari masih menyinari ,
Agar aku mampu melunasi.



Selamat hari lahir untukmu....

p/s:Hari ini adalah hari lahir adikku yang bongsu..

Saturday, August 15, 2009

Ulama Perlu Laksanakan Bacaan Kitab Sahih Bukhari

Ulama Perlu Laksanakan Bacaan Kitab Sahih Bukhari

Friday, August 14, 2009


Bila terbaca akhbar yang menceritakan berkaitan H1N1 ,terdetik di dalam hati betapa ujian Allah taala itu tidak akan mengenal tua dan muda.Setakat hari ini sahaja jumlah kematian di Malaysia seperti yang dilaporkan oleh akhbar-akhbar tempatan telah mencapai 51 orang manakala jumlah pesakit pula meningkat kepada 2955 orang.Satu jumlah yang tidak boleh dipandang enteng.

Saya tidak mahu menunding jari kepada sesiapa dan mengapa wabak ini boleh menular dan ujian Allah taala semakin bertimpa-timpa.

Bagi orang yang beriman maka mereka akan menerima perkara ini sebagai ujian keimanan mereka.Maka sesiapa yang bersabar baginya pahala mati syahid.Ini seperti yang tersebutkan oleh Baginda sallallahu alaihi wasallam.

Para ulama sekarang telah memberikan pelbagai cara untuk mengelakkan daripada terkena jangkitan tersebut.Bacaan doa dan hizib perlu diperkasakan untuk membenteng diri daripada perkara sebegini.

Namun seperkara yang ingin saya kongsikan bersama di sini ialah cara bagaimana para ulama terdahulu berusaha untuk menyelamatkan diri daripada bala bencana.Teringat sebuah kisah yang berlaku pada zaman al-Imam Ibn Daqiq al-Id rahimahullah ,salah seorang ulama besar dan mujaddid pada kurun ke 7.Ketika mana tentera Tartar masuk menyerbu ke Negara Islam dan hampir masuk ke Negara Mesir, maka pemerintah pada ketika tersebut mengarahkan kepada para ulama untuk membacakan kitab Sahih Bukhari sebagai satu cara untuk menjauhkan Negara daripada bala bencana tersebut.Alhamdulillah dengan izin Allah taala, tentera Tartar tidak dapat masuk ke negara Mesir berkat bacaan kitab Sahih Bukhari tersebut.Ini merupakan antara karamah yang Allah taala berikan kepada kitab karangan al-Imam Al-Bukhari rahimahullah.



Virus H1N1 juga merupakan salah satu tentera yang Allah taala turunkan sebagai ujian kepada umat.

Oleh kerana itu, saya mencadangkan kepada semua ulama yang berada di pondok dan pesantren agar melaksanakan bacaan Sahih Bukhari secara beramai-ramai.Namun ini perlulah mendapat sokongan pihak pemerintah negeri.Semoga dengan bacaan Sahih Bukhari ini dapat mengelakkan lebih ramai masyarakat di bumi Malaysia khususnya terkena jangkitan penyakit ini.Meneliti semula sirah dan cara perlaksanaan para ulama terdahulu semasa dan sebelum menghadapi sesuatu bencana amatlah penting buat kita semua.

Jika tidak dapat dilaksanakan secara beramai-ramai sekalipun, cukuplah sekadar beberapa orang ulama yang perlu mengambil perhatian untuk membacakan kitab sahih Bukhari ini bersama-sama.Tidak perlu mensyarahkan matannya.Cukup sekadar membacakan secara terus menerus walaupun tanpa terjemahan.

Tolong sampaikan mesej saya ini kepada seluruh ulama yang berada di Tanah Melayu Nusantara….

Semoga Allah taala memberikan keselamatan kepada kita semua.Amin Ya Rabbal A’lamin.

Mohd Nazrul Abd Nasir,
al-Azhar al-Syarif,
14 Ogos 2009

source:Dari Anjung Al-Atrak

Friday, August 14, 2009

Belangkasuwa


Assalamualaikum...


Segala puji bagi Allah yang menjadikan mati dan hidup untuk menguji siapa diantara hambanya yang melakukan amalan yang terbaik. Selawat dan salam buat nabi Junjungan habibuna Muhammad saw, ahli keluarga, sahabat serta mereka yang mengikuti jalan yang ditinggalkan oleh baginda.

Salam takziah untuk keluarga, balu, anak dan sahabat rabbani kerana kehilangan suami,ayah dan vokalis Allahyarham Mohd. Asri Ibrahim pada 13 Ogos 2009. semoga Allahyarham ditempatkan bersama para nabi , wali dan orang yang soleh...





Wednesday, August 12, 2009

Di Tagg

Assalamualaikum..

Hari ini nak jawab tag yang telah diajukan oleh faarihin. Harap berpuasa hati dengan jawapan ini.

1) Nama timangan anda?
din,bee deen,along

2) Anda seorang yang?
humble

3) Insan yang teristimewa?
mok dan ayah.

4) Lagu kesukaan?
aeman

5) Makanan kesukaan anda?
nasi dagang

6) Sikap yang membuatkan anda stress?
malas

7) Warna kegemaran anda?
biru

8) Benda yang mesti dalam beg?
lesen, kad klinik

9) Kali terakhir anda menangis?
sudah lupa

10) Tag untuk 6 rakan anda:
1-Nadhirah
2- Rdhanz
3- toqki
4- ikram
5- Alim
6-CInta Ilahi

Tuesday, August 11, 2009

Salam Pagi

Assalamualaikum semua...


Kembali menikmati peluang untuk melayari alam maya setelah beberapa hari kempunanan kerana wireless telah disekuriti oleh tuan empunya. Bagaikan tahu hasrat hati ini hari ini nikmat ini kembali untuk dinikmati setelah menumpang kasih dengan jiran untuk menumpang moderm mereka.

Semalam 10 ogos adalah hari lahir seorang lagi adik saya yang tidak sempat untuk dicoretkan sesuatu kerana ketiadaan nternet. Hari ini saya ingin melakarkan harapan hati dan tanda bahawa dirimu diingati. Coretan yang mungkin tidak seberapa sekadar sepotong doa yang dititip
semoga dalam rahmat dan keampunan Allah, cemerlang dunia akhirat serta menjadi anak yang soleh dan bertambahnya amalan seiring dengan usia...amin...



Setelah meniliti hari kelahiran keluarga tiga daripada ahli keluarga saya lahir pada bulan ogos atau lebih dikenali dengan bulan kemerdekaan. Mungkin keluarga saya akan mempunyai semangat patriotik dan semangat kemerdekaan juga amat mendalam disebabkan kelahiran mereka pada bulan ini tetapi ia sekadar tanggapan dan sememangnya rasa itu ada cuma tahap mana cuma saya sahaja yang tahu.

Semoga Adik Saya akan terus membesar dalam jalan yang diredhai oleh Allah dan menjadi hamba yang sebenar-benar hamba....


p/s: Ya Allah engkau selamatkan lah keluargaku dan umat islam dari wabak H1N1.

Friday, August 7, 2009

Selamat Hari Lahir Adikku Yang Tersayang




>Alhamdulillah segala puji bagi Allah yang masih memberi kita nyawa untuk kita terus menikmati kehidupan dan membajak sebanyak mungkin amalan agar bila tiba musim penuaian kita termasuk orang yang mempunyai hasil yang paling banyak dan melayakkan kita beroleh ganjaran syurga insyaAllah….


Kita adalah manusia yang dijadikan oleh Allah pada mulanya lemah kemudian diberikan kekuatan dan akan kembali lemah. Kita dahulu berjalan harap belah ehsan ibu kini kita sudah mampu berdiri dan akan tiba saat kita akan mengharapkan ehsan orang kembali. Semakin kita membesar semakin dekat akan kematian kerana kita ibarat kenderaan yang dari arah berlainan tetapi menuju ke destinasi yang sama.

Jika dahulu kita bermain pondok-pondok hari ini kita bermain dengan blog. Kita tidak statik, kita akan terus membesar dan membesar sehingga saat akan datangnya ajal.


Hari ini adalah hari kelahiran adikku yang ke empat belas. Menunjukkan meningkatnya beliau kearah kedewasaan dan saya kearah menjadi pemuda. Tiada yang mampu untuk saya berikan sekadar sepotong doa semoga menjadi hamba kepada Allah, anak yang soleh kepada ibubapa dan sentiasa berada dalam rahmat, keampunan dan keselamatan dari Allah. Semoga bertambahnya usia seiring dengan amalan…amin…..



Dapatkan Mesej Bergambar di Sini


Ya Allah Ya tuhan kami , kurniakan kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkanlah kami dari azab neraka..amin



p/s:Sila lawati blog Penantian Abadi dan Cinta Ilahi yang insyAllah ada manfaatnya…

Dua orang sahabat saya akan menduduki imtihan pada hari Khamis ini dipohon kepada pembaca budiman agar mendoakan kejayaan kepada mereka. Ingatlah kita mendoakan kejayaan orang lain pada hakikatnya kita mendoakan diri kita juga.


Sunday, July 26, 2009

Buah yang orang MAlaysia Bangga

MELIHAT GAMBAR DAPAT MELAHIRKAN SERIBU KEMUNGKINAN







wah senyap nie...



musim durian(rokok timbang kilo)




GAMBAR EHSAN DARI MUSLIM ROCKER

Jom Sebarkan





Kepada SEmua warga IB dan Mtt.jangan lepaskan peluang anda ke majlis ini.....


sila sebarkan kepada teman-teman anda..

Saturday, July 25, 2009

copy paste

Penipuan Jurutera Komputer
www.iluvislam.com
Oleh: Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
Editor: NuurZaffan



Dunia memang penipuan, ada penipuan yang dapat kita jangkakan, ada pula penipuan yang tidak dijangkakan. Berita yang disiarkan oleh five tv UK semalam, menarik saya untuk mencoretkan sedikit nasihat kepada pembaca berkenaan penipuan serius yang dilakukan oleh kedai-kedai baiki komputer. Laporan dan kajian yang dilakukan adalah di beberapa buah kedai di London, tetapi saya yakin ia mungkin sahaja berlaku di tempat lain khususnya Malaysia.

Menurut laporan itu, pihak penyiasatan sengaja merosakkan sedikit komputer mereka dengan melonggarkan internal cip memori (amat muda untuk dibaiki). Kemudian, menyerahkannya ke beberapa buah kedai komputer untuk proses baikpulih.

Apa yang menarik, pada masa yang sama, mereka memasang sejenis alat khusus tersembunyi di komputer masing-masing berupa kamera, yang boleh merakam wajah techichan di hadapan screen komputer dan juga apa sahaja page

Keputusan yang diperolehi amat mengejutkan iaitu :-


yang ditekan oleh technician tersebut.

1. Hanya satu kedai yang jujur terus terang memberitahu hanya kerosakan kecil dan ia dibaiki tanpa bayaran.


2. Semua kedai lain (hampir 5 buah), didapati membuka fail peribadi pemilik computer, melihat gambar peribadi pemilik computer, malah lebih dahsyat mereka turut menyalin sebahagian gambar dan maklumat peribadi.


3. Mereka juga cuba berkali-kali untuk akses ke laman internet banking yang digunakan oleh pemilik komputer, tetapi gagal kerana di dalam kes ini komputer yang dihantar adalah dirancang dan pemilik sengaja memasukkan butiran palsu. Ini bermakna jika orang biasa yang kerap memasuki internet banking melalui komputer kita yang rosak ini, maka dengan mudah pihak technician komputer boleh mencuri segala maklumat, malah boleh mengakses akaun bank kita juga.


4. Mereka juga boleh mengakses segala akaun email dan sebagainya kerana password kita yang boleh diperolehi dari komputer kita.


5. Mereka juga didapati menipu pelanggan apabila mengatakan kerosakan serius, ada yang mencadangkan pelanggan agar menukar motherboard computer yang berniali GBP 130 (RM750), sedangkan pihak penyiasat sengaja melonggar satu memori cip sahaja. Bayangkan bagaiamana penipuan sebegini dengan mudah berlaku dalam industry pembaikpulihan computer. Dalam kes ini, dua pihak telah membayar ‘refund' kepada pihak penyiasatan apabila penipuan mereka dibongkarkan sejurus selepas itu. Malangnya, syarikat yang menipu bukan hanya syarikat kecil tetapi termasuk syarikat gergasi seperti PC World!.



Berdasarkan laporan di atas, saya suka menasihatkan orang ramai agar berifkir panjang dan membuat pilihan sebaik-baiknya sebelum menghantar lap top atau desktop anda untuk pemulihan.

Anda mungkin tiada gambar peribadi sexy yang ingin dirisaukan, tetapi bagaimana dengan maklumat perbankan internet, email, facebook dan sebagainya.

Jika ada peniaga, mekanik atau technichan computer yang membaca tulisan ini, sedarlah segala tindakan tersebut adalah haram di sisi Islam, dan segala keuntungan hasil penipuan juga haram.

Seseorang peniaga mungkin dengan mudah boleh memperolehi keuntungan ganda hasil menukar benda yang tidak perlu, tetapi ia merupakan satu penipuan yang hanya melayakkan seseorang untuk berada di neraka Allah swt. Hal yang sama juga mungkin berlaku semasa kita membaiki kereta, ditukarnya benda yang tidak rosak atau sengaja dirosakkan bahagian yang tidak rosak agar boleh mendapat caj yang lebih.

Beringat-ingatlah..

Bagi mereka yang berminat untuk menonton gelagat penipu komputer, SILA BUKA DI LINK BERIKUT . Ia disiarkan di beirta utama channel Five TV, United Kingdom.


copy dari iluvislam.com

Sunday, July 19, 2009

pergi tak kembali


Assalamualaikum semua…

Segala puji bagi Allah tuhan sekelian alam yang menghidup dan mematikan..Selawat dan salam atas junjungan Mulia nabi Muhammad ,ahli bait dan orang yang mengikut jalan yang ditinggalkan oleh baginda..




Semalam jagat ini muram menangisi pemergian kilauan permata al-marhum syeikh redha Salim. Pemergian yang mengejutkan dan membawa mutiara ilmu yang amat bernilai. Semoga pemergian beliau membangkitkan semangat kita untuk terus menuntut ilmu..

YA Allah ampunilah dosa syeikh dan tempatkan al-marhum bersama para anbiya , sahabat dan solihin

Friday, July 17, 2009

Kekayaan




Setiap manusia inginkan kesenangan dan islam sendiri menggalakkan umatnya untuk mengejar kesenangan.Kekayaan adalah nikmat yang dianugerahkan oleh Allah untuk hamba-Nya dengan harapan hambanya akan menggunakan dengan sebaiknya.MAnusia hari ini sentiasa berlumba-lumba mencari harta agar dapat hidup senang di dunia.
Harta dan manusia ibarat semut dan gula dimana ada gula disitu akan ditemui semut.






Pantang ada penemuan yang boleh menghasilkan harta pasti manusia akan tertumpu disitu.Kadang-kadang Manusia sanggup mengenepikan halal dan haram
dalam mengejar harta. Harta yang banyak boleh menjadi berguna jika digunakan secara betul dan harta yang banyak juga boleh menyebabkan manusia lupa daratan
dan memberi musibah pada empunyanya. Lihat sahaja Qarun yang akhirnya mati dalam kesesatan akibat terpengaruh dengan harta.

Disini saya ingin mengajak saudara menyertai tawaran berupa kekayaan amal yang akan menyelamatkan kita di tempat yang kekal abadi
yang tidak berguna anak pinak dan harta benda di tempat ini. Perniagaan yang dijamin oleh Allah tidak akan merugikan kita..

1)Membaca kita Allah serta tadabbur
2) mendirikan solat
3)menafkahkan sebahagian rezeki yang diberi oleh Allah samaada secara terang dan sembunyi.



ini berpandukan ayat Allah dalam surah al-Faathir yang bermaksud:

29. Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca kitab Allah dan mendirikan shalat dan menafkahkan sebahagian dari rezki yang Kami anuge- rahkan kepada mereka dengan diam-diam dan terang-terangan, mereka itu mengharapkan perniagaan yang tidak akan merugi,





p/s:jika ada kesalahan sila tegur agar tidak terjadi salah pentafsiran..